IMP Community

October 26, 2009

wang & kewangan Islam

Berita Harian. 20/10/2009

mn.omar

Kewangan Islam telah diterima umum dan menjadi satu industri yang amat memberansangkan. Namun terdapat tanggapan bahawa kemudahan kewangan Islam tiada beza dengan kewangan biasa kecuali nama kontrak tersebut dalam bahasa arab dan borang-borang berwarna hijau. Kalau kontrak tersebut pinjaman, pelanggan masih perlu membayar lebih dari apa yang dipinjamkan atau kadang-kadang lebih tinggi. Adakah sama faedah dan keuntungan dan kenapa faedah diharamkan tetapi keuntungan dibenarkan sedangkan yang bezanya hanya perkataan dan tulisan.

Persoalannya, adakah tanggapan ini betul atau orang beranggapan begini tidak faham konsep-konsep akad atau telah berlaku pengubahsuaian dalam kontrak-kontrak kewangan Islami sehinggga pelanggan lebih tidak faham dari faham terhadap apa yang berlaku. Namun, sama ada faham atau tidak, manusia perlukan satu sistem kewangan yang bebas dari amalan-amalan yang ditegah terutamanya melibatkan riba hasil dari urusan pinjam meminjam. Hebatnya kewangan Islami bukan kerana jenamanya tetapi prinsip utama yang telah disempadankan oleh Allah.

Faedah dalam urusan kewangan biasanya merujuk kepada lebihan yang diperolehi dari wang asas yang dipinjamkan manakala keuntungan pula adalah pulangan yang diperolehi hasil dari menjual barangan atau perkhidmatan. Islam melarang keras amalan mengambil faedah dari pinjaman yang disebutkan sebagai riba manakala amalan jualbeli dengan kadar keuntungan dibenarkan.

Aktiviti utama bank konvensional ialah antara lain berurusan dengan pinjaman dan mendapat keuntungan hasil dari pinjam meminjam wang. Wang diniagakan dengan memberikan pinjaman wang untuk mendapatkan keuntungan ke atas apa yang telah diberikan. Sekiranya perbankan Islam membuat urusan yang sama dan cuba membezakan kulit luar, warna dan jenama, maka betullah tanggapan mengatakan perbankan dan kewangan Islam tiada bezanya. Sebarang bentuk pinjaman dalam sistem kewangan mestilah menepati akad Qard al-hasan iaitu pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Apa yang berlaku ialah institusi kewangan memberi wang dan mendapat pulangan yang melebihi wang asas sebagai keuntungan. Untuk menjadikannya sebagai jualbeli, maka beberapa pendekatan diambil supaya dapat menjadikan aktiviti ini nampaknya seolah-olah jualbeli. Helah disusun dengan teliti dan dialaskan dengan hujah-hujah yang mengharuskan jenama kontrak tertentu yang pada hakikatnya tidak dilaksanakan mengikut keperluan asal. Pendapat ulama digunakan dan yang malangnya, pengamal kewangan Islami sendiri mencari jalan untuk merombak bentuk asal akad tetapi menisbahkannya kembali kepada ulama yang tidak lagi dapat memantau ketelusan perubahan dan rombakan yang dibuat.

Pengharaman riba memang jelas tetapi yang agak kabur adalah beza di antara amalan riba dan jual beli. Namun, sebagai muslim yang bertanggungjawab, perincian tentang ini perlu mendapat keutamaan bukannya menjadi dalang yang membuka pintu kepada kemurkaan Allah. Jangan tergolong di dalam golongan yang disentuh al-Quran sebagai satu kumpulan yang cuba membolehkan apa yang tidak dan sanggup bersusah-susah untuk menjualbelikan riba.

Allah menegaskan di dalam al-Quran tentang halalnya jualbeli dan mengharamkan riba.  Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa “Riba diharamkan kerana riba boleh menghalang orang ramai dari terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar”. Pengharaman riba atau apa-apa saja nama lain bagi riba adalah untuk mengelakkan penindasan pihak yang mempunyai wang ke atas orang yang memerlukan. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan lain terpaksa membayar lebih dari apa yang diperolehi dalam pertukaran. Lanjutan ilah hukum ini juga ialah hilangnya keseimbangan, pertikaian ketelusan, tekanan terhadap golongan kurang mampu dan lenyapnya keadilan dalam urusniaga. Apabila ia dibiarkan berleluasa, keseluruhan sistem ekonomi akan menjadi rapuh kerana aktiviti ekonomi sebenar tidak jelas sama sekali.

Oleh itu, memahami, membezakan dan menjarakkan di antara jualbeli dan riba bukan sahaja penting tetapi menjadi tanggungjawab pengamal kewangan Islami. Hukum berkenaan tetap sama tidak kira nama, warna atau rupa. Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa atau harta (luaran sesuatu) tetapi melihat kepada pendirian (hati) dan amalan-amalannya. Gambaran besarnya dosa amalan riba melebihi perbuatan zina yang terkutuk walaupun penzinaan tersebut berlaku dengan keredhaan. Begitu juga yang berlaku di dalam industri. Walaupun permintaan kepada ‘skim pinjaman wang Islami’ makin meningkat dan ‘menguntungkan’ namun, ia bukanlah alasan untuk membuka pintu amalan riba. Keuntungan jangka pendek golongan tertentu apatah lagi mengorbankan kekananan tuntutan ajaran Islam tidak tergolong sama sekali di dalam maqasid syariah.

Riba adalah kezaliman yang berlaku dalam muamalah yang boleh meruntuhkan keseluruhan sistem ekonomi. Apabila keadilan, ketelusan dan keseimbangan dinafikan, lihatlah bagaimana krisis ekonomi dunia masyarakat antarabangsa hadapi sekarang. Sampai ke satu tahap, kerapuhan muamalah berasaskan riba menunjukkan dirinya yang rapuh dengan menghancurkan dan memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan muamalah ekonomi sebenar.  Untuk pulih, keseluruhan sistem perlu dirangka semula selari dengan ajaran Islam. Kefahaman konsep muamalah dan menakrif semula syarat serta rukun jualbeli menjadi satu kemestian. Akad-akad muamalah Islami sebenarnya telah datang dengan pakej pengurusan risiko di dalamnya. Sekiranya aspek pengurusan risiko ini diabaikan dengan membuat rombakan syarat atau mengahwinkan akad-akad yang tidak sesuai, maka akan lahir risiko yang lebih rumit.

Dalam jualbeli barangan atau perkhidmatan, wang dicipta bagi mewakili harga, nilai dan pengukur yang menggantikan kelemahan sistem barter. Wang yang menerima berbagai sudut pandangan dan perkembangan kepenggunaannya telah mengelirukan pengamal kewangan dari aspek pemakaian. Wang yang bertindak sebagai harga tidak boleh diurusniagakan kecuali dengan mengikut ketetapan pertukaran yang telah digariskan seperti kadar/kuantiti, masa dan motif. Akibat dari sentiasa berdamping dengan barangan yang diniagakan dan sentiasa tidak boleh dipisahkan, wang dianggap sebagai barang yang boleh diniagakan dan mempunyai harga tertentu.

Teori nilai masa wang (time value of money) yang diterimapakai dalam amalan kewangan Islami atau dalam penghargaan aset (asset pricing-proses memberi harga kepada aset kewangan) lebih mencelaru apabila ada pihak salah faham konsep wang sebagai komoditi bukannya wang sebagai harga. Sebenarnya, selain dari urusniaga berkomoditi (atau perkhidmatan), wang tidak mempunyai nilai masa sama ada dinisbahkan kepada jangkamasa sekarang atau di masa akan datang. Wang itu sendiri sekiranya bernilai satu ribu tetap sifatnya bernilai satu ribu dalam masa setahun akan datang. Jatuhnya harga atau nilai kuasa wang tersebut hanya apabila dinisbahkan kepada barangan atau perkhidmatan pada waktu ingin digunakan. Ini kerana dominasi ekonomi bukannya wang tetapi barangan (atau perkhidmatan), jenis muamalah dan pasarannnya.

Memang terdapat di dalam tradisi amalan Islami yang membenarkan landasan berbezanya harga jika dijual secara tunai dan bertangguh tetapi, kadar tersebut adalah kadar harga komoditi berkenaan, bukanlah membawa makna yang sama bahawa wang berubah nilainya iaitu sekarang lebih tinggi nilainya berbanding pada masa hadapan seperti yang diamalkan dalam amalan konvensional.

Wang sebagai tanda ukur penilaian yang diterima umum dan dianggap sebagai harga pertukaran sesuatu muamalah semata-mata dan bukannya sesuatu yang boleh diniagakan dengan sendirinya tanpa melibatkan barangan dan perkhidmatan. Apabila perniagaan wang berlaku iaitu apabila wang ditukarmilikan dengan dikadarkan dengan harga ke atas wang tersebut, maka nilai tambahan itu adalah riba dan diharamkan oleh Islam. Walau apa cara dan helah dibuat serta dinamakan dengan nama yang lebih sedap, atau diamalkan dengan kerelaan pihak bermuamalah, amalan riba tetap tidak dibolehkan. Akad jualbeli berasaskan pinjam meminjam seperti bai’ bithamani ajil (BBA), bai’ al-inah, tawarruq dan murabahah, atau akad-akad yang telah dijenamakan serta dijelmakan dengan penggabungan beberapa akad seperti Al-Ijarah Thumma Bai’ (AITAB) di dalam aturan serta amalan perbankan dan kewangan Islami perlu ditelaah kembali.

Faham asas tentang wang, harga dan syarat-syaratnya perlu diperhalusi berbanding dengan mengambil jalan mudah menisbahkan akad asal yang telah melalui pembaharuan kepada ulamak yang mengharuskan akad muamalah asal satu kezaliman. Pasti ulamak-ulamak ini akan menentang sekeras-kerasnya sekiranya mereka dinisbahkan sebagai mengharuskan apa yang menjadi larangan Allah. Kalau di zaman jahiliah badwi, manusia sering melakukan sesuatu larangan kerana kerana jahil tetapi, zaman jahiliah maju, manusia melakukan larangan kerana engkar. Kejahilan boleh membuatkan manusia yang mengundur ke belakang merasa seolah-olah berjalan ke hadapan, manakala keengkaran pula boleh membuatkan manusia mengkhianati keseluruhan diri dan perjalanannya.

Advertisements

September 3, 2009

Teknik Pemasaran Mengelirukan

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:58 pm

mn.Omar (Berita Harian 01/09/2009)

fightingDalam pasaran bebas berlandaskan konsep pembeli berwaspada atau ‘caveat emptor’, tugas membezakan baik dan buruk adalah tanggungjawab pengguna. Tidak semua barangan yang ditawarkan baik dan ada sesetengahnya pula langsung tidak menepati keperluan. Namun, perkembangan terkini teknik pemasaran telah memberi kebebasan yang luas kepada pengusaha dalam mempromosikan barangan atau perkhidmatan mereka. Sudah sampai masanya umat Islam menjadi pengguna yang bijak supaya tidak tertipu dengan dakyah pemasaran yang mengelirukan.

Al-Quran menegaskan bahawa apabila didatangkan sesuatu berita, maka menjadi kewajaran untuk diselidikinya. Permintaan yang menggalakkan terhadap konsep kepenggunaan Islami memberi ruang kepada pengusaha mengetengahkan pendekatan Islami dalam pemasaran. Umat Islam perlu menghalusi tuntutan syarak dengan cara yang lebih berhikmah dan berhati-hati terhadap orentasi pasaran. Matlamat pengusaha yang dilandaskan kepada keuntungan semata-mata tanpa rasa tanggungjawab sentiasa mencari jalan untuk mencuri perhatian serta sanggup menggunakan agama sebagai penarik kepada barangan mereka. Pengguna yang gopoh dan kurang usul periksa akan terjerat dan terdedah kepada kesan sampingan barangan atau mutu barangan yang tidak baik, dilema pengurusan kewangan atau lebih buruk lagi pengurusan perbelanjaan yang berada di luar jangkaan.

Penggunaan istilah dan pendekatan yang berbau Islam termasuk barangan yang dilabel halal sering saja kita dengari. Istilah-istilah seperti penjenamaan barangan dengan katanama bahasa Arab, kaedah pemakanan Islami, busana muslim, pendekatan jihad perniagaan dan seumpamanya sering didedahkan melalui media cetak dan elektronik. Sehingga ke suatu tahap, masyarakat boleh keliru, terpengaruh dan membeli bukan kerana keperluan barangan tersebut tetapi terbeli oleh saranan amalan atau konsep Islami yang diketengahkan. Islam melaknat tindakan menggunakan agama untuk menutup kecelaan dan mengejar keuntungan dunia semata-mata. Orang yang berbuat sedemikian bukan sahaja hina kerana jahil tetapi lebih tercela kerana mengkhianati. Islam menyarankan supaya umatnya sentiasa menyeimbangkan di antara ucapan dan tindakan, mencari kekayaan dunia dan mengingati akhirat, berusaha dan beribadat.

Perkara pokok yang perlu dikuasai oleh seorang pengguna yang bijak di samping memahami keperluan sebenar dalam pengurusan keperluan isirumah, ialah membandingkan beberapa pilihan sebelum membeli, mengetahui pengeluar atau pengilang yang mengeluarkan barangan atau perkhidmatan tersebut yang betul-betul memperjuangkan syariat atau sebaliknya. Pengusaha yang benar-benar bertanggungjawab bukan semata-mata melabelkan keislamannya tetapi memberi penekanan dalam usaha menegakkan hukum-hukum syarak dalam keseluruhan proses perusahaannya. Dengan kata lain, mereka bukan sahaja terdiri dari orang yang beriman, tetapi cuba melaksanakan saranan Islam dalam langkah-langkah pengeluaran serta amalan nilai yang selari. Berselindung di sebalik program-program berbau Islam dengan menaja atau menganjurkannya kadang-kadang lebih menyukarkan penelitian.

Sebagaimana tindakan pengusaha yang mengkaji pasarannya, sasaran pelanggan dan kaedah pemasaran, begitu juga pelanggan berhemah perlu mengenali siapakah pengusahanya, apakah barangannya, bagaimana proses pengeluarannya sebelum membeli. Elakkan dari mendapatkan barangan atau perkhidmatan dari pengusaha yang mencurigakan. Oleh itu, meneliti pembungkusan bukan terhad kepada rekabentuk yang cantik semata-mata tetapi melihat siapakah pengilang, pengedar dan pengusahanya. Dengan cara ini, pengguna dapat memberi tekanan kepada pengusaha supaya menjadi lebih bertanggungjawab berbanding berselindung di sebalik pembungkusan menarik atau dedahan iklan pemasaran di media cetak dan elektronik.

Peperangan merebut pasaran kini makin sengit dengan bercambahnya pengusaha. Kejayaan jangka panjang terletak di tangan mereka yang bijak dan telus kepada diri sendiri tidak kira sebagai pengusaha atau pengguna. Memang zaman sekarang amat sukar kita menemui peniaga seamanah Abdul Rahman Ibn ‘Auf. Peniaga muslim sejati akan menjadikan perniagaan mereka sebagai ibadah untuk berjihad kepada Allah dengan berusaha sedaya upaya menegakkan hukum dalam industri. Mengutamakan ketundukan kepada Allah dan perkhidmatan pelanggan berbanding keuntungan menjadi kaedah berkesan perkembangan perniagaan dalam jangkamasa panjang.

Walaupun Islam memberi kebebasan untuk menetapkan harga, namun tidak kurang ada yang bertindak di luar batas keadilan. Dalam penetapan harga pasaran, sesetengah pengusaha sanggup mewujudkan sendiri atau membeli pesaing-pesaing mereka. Tujuannya adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna agar mereka dapat mengawal pasaran. Menjadi kebiasaan juga bagi mereka menawarkan pakej pembelian yang kononnya menguntungkan dengan menawarkan barangan percuma. Kadang-kadang harga yang ditawarkan untuk dua barang dalam pemasaran beli satu dapat satu sebenarnya sama dengan harga untuk dua barang tersebut ditawarkan di luar tempoh tawaran.

Gembar-gembur promosi harga yang dibincangkan ini adalah merupakan satu kaedah yang telah lama diamalkan. Islam sebenarnya menyarankan keadilan dan bermuamalah secara mulia. Persoalannya ialah adakah teknik pemasaran ini adil kepada pengguna atau pengguna hanya dihelahi dan perkara sebenar dapat diselindungkan untuk mengaut keuntungan. Yang jelas, pengguna akan rasa tertipu sekiranya mengetahui hakikat sebenar dan merasa diperbodohkan.

Amalan menyembunyi barangan keperluan asas untuk dijual apabila harga meningkat sering menjadi isu di Malaysia terutama apabila menghampiri musim perayaan. Kita juga berhadapan dengan kesukaran memberi kesedaran kepada pengedar atau pemborong supaya mengamalkan urustadbir Islami yang lebih adil kerana kurangnya pemborong dari kalangan orang Islam sendiri. Orang bukan Islam pula belum tertarik dengan Islam kerana kelemahan umatnya sendiri secara proaktif mengawal pasaran. Kawalan terhadap pasaran secara tradisi oleh sesetengah kaum di Malaysia perlu dijadikan cabaran oleh umat Islam untuk mengambil bahagian dan menyeimbangkan pasaran. Selari dengan pendekatan kepimpinan Satu Malaysia, usaha untuk mewujudkan Satu Ekonomi yang mengangkat kesaksamaan kawalan dan pasaran perlu diberi keutamaan oleh semua.

Zaman dilema kepenggunaan Islami menyambut kedatangan teknik pemasaran yang lebih mengelirukan. Bermula dari rekabentuk, jenis barangan, kaedah jualan dan maklumat kepada pelanggan semuanya telah mula condong. Ketelusan pasaran menjadi persoalan kerana tingginya persaingan. Apabila kulit luar yang lebih diutamakan dan amalan murni dibelakangkan, semua pihak berada di dalam tanggungjawab untuk berwaspada. Kesan dari rasa terancam dengan pelbagai kemungkinan ini mendesak kita menjadi pengguna yang lebih bijak dan berhemah. Bukan untuk kepentingan kita semata-mata tetapi untuk kelangsungan generasi umat yang akan datang.

August 20, 2009

fitrah bulan ramadhan

Filed under: articles — Tags: , , , , , , , , , , , — mnour's IMPian @ 1:45 am

16/10/2007 | Berita Harian (mohd noor omar)

150820091294Dilemma prestasi dan pengeluaran yang dihadapi oleh kebanyakan organisasi sepanjang bulan Ramadhan tidak dapat dinafikan berlaku. Bermula dari waktu kerja dipendekkan, mutu kerja yang kurang memberangsangkan sehinggalah kepada banyak kegiatan pengeluaran biasa ditangguhkan. Kemungkinan keseluruhan gambaran ini memberi petunjuk bagaimana penyelarasan pembangunan jasmani dan rohani berlaku. Namun dalam kepayahan menerima hakikat bulan latihan ini dari sudut zahir dan batinnya, akhirnya Syawal menjelma membawa kefitrahan kepada manusia dan kemanusiaan. Bulan Syawal sebenarnya menguji sejauh mana keberkesanan latihan Ramadhan yang dilalui oleh seorang Muslim.

Apabila dikatakan manusia kembali kepada fitrah maka seluruhnya kehidupan dan sudut pandangannya wajar berada seperti dalam satu garisan lurus dengan hakikat fitrah sebagaimana yang dapat difahami melalui mafhum ayat-ayat Allah. Usaha pemulihan insani sepanjang bulan Ramadhan kini berakhir membawa tahap baru pada asal kejadian insan. Intipati penting yang diberi penekanan ialah bagaimana kita boleh mempertahankan tahap pembangunan rohani ini sehingga Ramadhan akan datang menjelang. Bagaimana meletakkan pertimbangan insan supaya sentiasa fitrahnya bersedia mengabdikan diri kepada ilahi.

Islam agama yang menyeluruh dan lengkap. Aturan nilainya tidak bergantung kepada sesuatu tindakan secara khusus tetapi tertakluk kepada amalan manusia dalam kehidupan di kaitkan dengan Allah. Bertindak mengikut Islam ialah bertindak dalam jalinan rangkaian nilai zahiri dan batininya dengan perkaitan aqidah, muamalah dan akhlak secara serentak. Sekiranya satu masyarakat mengamalkan muamalah tetapi tidak mengambil erti kepada aqidah dan akhlaknya, dalam keadaan tidak kenal dan beriman dengan penciptanya maka mereka masih belum boleh digolongkan dalam masyarakat yang menjadikan pandangan alam Islam sebagai panduan hidup yang sebenar. Keimanan menuntut lebih banyak kepada pembenaran di dalam hati berbanding pengucapan lisan.

Keghairahan pasaran dan cenderung kebendaan dewasa ini, telah mengabaikan dan mengaibkan rangkaian ini dengan menjejaskan ketiga-tiga ciri penting ini. Sandaran utama amalan ialah kepada kebendaan dan mengasingkan perkaitan dengan Allah. Akibatnya timbullah masalah lain samada berbentuk muamalah atau akhlaqi walaupun zahirnya kononnya mencerminkan agama Islam sehinggakan ada yang mengaitkan agama Islam dari sudut pandangan yang salah. Berdasarkan kepada suasana inilah, ummah perlu memahami dan kembali kepada kerangka sebenar pandangan alam Islam bagi mengelak tersasar jauh. Nilai zahiri itu adalah bentuk sedangkan kerangka pandangan alam Islam adalah gabungan kedua-duanya secara seiring.

Nilai-nilai agama serta pandangan alam Islam semakin terhakis akibat dari kewahaman ummatnya. Nilai yang merupakan harga kepada kemasyarakatan kian terhakis. Manusia di alam syahadah yang tergantung kepada dua nilai iaitu nilai zahiri dan batini semakin hari semakin tempang. Ketidakseimbangan yang berlaku ditokok oleh pandangan batini yang makin membuta, maka nilai kerohanian makin dikesampingkan. Ummat Islam hanya menjadi buih-buih yang banyak dan tidak memberi makna apa-apa kepada pantai nan luas sekiranya terus dibadai mengikut corak keadaan semasa. Bulan Ramadhan yang dianggap sebagai sekolah kepada kemanusiaan tidak boleh hanya dipestakan berdasarkan musim. Kesempatan berada di dalam Ramadhan disia-siakan begitu saja. Ramadhan yang menjadi medan pemulihan tidak dijadikan titik tolak ke arah kebangkitan dan kejayaan ummah.

Penekanan diberikan dalam pembangunan modal insan negara lebih kepada muamalah berbanding unsur aqidah. Manakala nisbah akhlak hanya pada muamalah, bukannya pada aqidah. Kerana itu, soal aqidah makin ditanggapi mempunyai ‘sensitiviti’ bangsa. Suasana ini boleh menjejaskan muamalah dan akhlak walaupun berjaya dibentuk kelak. Jika diperhalusi, unsur aqidah merupakan asas kepada perkembangan muamalah dan akhlak. Kesilapan sebegini sering wujud dalam masyarakat yang diganjakkan oleh perubahan kebendaan kepada kerohanian. Walaupun langkah penerapan unsur kerohanian di Malaysia berlaku, ummah perlu cepat sedar tentang pengabaian yang kelak akan memberi kesan sampingan iaitu lahirnya kelompok-kelompok masyarakat yang memegang bentuk-bentuk yang berbagai dan bercanggahan sesama mereka. Tambahan pula, tanpa kesedaran dari aqidah yang benar akan menyukarkan perkembangan muamalah dan akhlak.

Masalah lain yang melanda ummah sekarang ialah melihat yang benar sebagai palsu dan melihat yang palsu itu sebagai benar. Kebimbangan ini pernah dibandingkan di dalam buku Islam and Secularism oleh Prof. S.M Naquib al-Attas iaitu kekeliruan dalam faham keilmuan.

Jelas sekali, bahawa kebendaan yang menyerang bukan sahaja memalsukan yang benar malah menjadikan aturan keutamaan hidup berada di dalam ketidaktentuan. Masyarakat lebih rela bermusuhan kerana menegakkan bentuk masing-masing tanpa lagi mempedulikan kerangka sebenar agama dan pandangan alam Islam.

Mungkin ramai menganggap bulan Ramadhan bermusim. Sebenarnya pandangan ini salah sama sekali. Musim maknanya akan berlaku pengulangan. Berbeza dengan Ramadhan yang kita telah lalui, ia tidak akan berulang lagi. Cendikiawan Islam dalam mengambarkan kefahaman kita berkenaan masa, menganggap bahawa manusia seolah-olah berada di dalam gerabak keretapi. Manakala apa yang dilalui dalam kehidupan kita adalah perhentian demi perhentian yang kita tinggalkan. Kita tidak akan dapat lagi melalui perhentian Ramadhan yang telah kita tinggalkan. Apa yang boleh dibawa adalah bekal nilai dan harganya bersama.

Saranan utama agama Islam supaya menjaga silaturrahim kian terpinggir kerana masing-masing mengakui yang mereka lebih Islam dari orang lain. Apa yang menjadi keutamaan adalah yang nampak di mata serta apa yang ingin ditunjukkan, bukan lagi dasar nilai yang dijadikan pegangan. Syawal, sama seperti bulan Ramadhan juga dipestakan oleh umat Islam. Bulan raya ini akan dijadikan bulan perayaan dengan rumah terbuka atau jamuan hari raya di pejabat.

Aturan nilai yang tidak didokongi dengan rangkaian aqidah, muamalah dan akhlak sebenar agama Islam akan menggugat ‘silaturahim’ yang terjalin sebelum ini sekiranya masyarakat tidak faham kehendak kerangka pandangan alam dan agama Islam. Bukan sahaja pengurusan, malah semua ciri dalam kehidupan bergantung kepada nilai. Dalam masyarakat Jepun, ketekunan dijadikan satu nilai utama. Begitu juga di setengah tempat meletakan kesetiaan sebagai nilai penting sehingga membawa kepada ketaksuban. Nilai inilah yang dapat kita cerapi dari gambaran keseluruhan amalan sesebuah masyarakat.

Setelah pembersihan dilakukan di bulan Ramadhan, janganlah pula Syawal dicemari dengan kegiatan yang bercanggah sama sekali. Kita tidak boleh hanyut dibawa arus yang kemudiannya akan memberi kesan buruk kepada ummah. Masyarakat mula meminggirkan tentang penerokaan aqidah kerana nilai dagangnya yang tidak seiring kemahuan kebendaan berbanding muamalah. Perkembangan dan penekanan tentang aqidah adalah tugas khusus orang Islam menjelaskan kepada mereka yang ‘serasi’ akibat dorongan pasaran dengan muamalah halal Islami.

Dengan kata lain, penerapan dan menjelaskan hakikat aqidah adalah agenda utama yang perlu seiring dan sehebat peruntukan diterapkan dalam muamalah. Bertepatan dengan martabat kita sebagai seorang ummah yang terpilih menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Perkara ini perlulah sejajar dengan perhatian yang diberikan kepada perkembangan aturan kewangan Islami dan perluasan pasaran barangan halal. Kesimpulannya, jangan ringankan kepentingan aqidah dan akhlak dalam muamalah sedia ada kerana di situlah terbentuk kerangka Islami. Kefitrahan sebenarnya adalah mempertahankan keseimbangan jasmani dan rohani sepanjang masa dalam perjalanan kehidupan.

August 19, 2009

hutang…cegah sebelum parah

Filed under: articles — Tags: , , , , , , , — mnour's IMPian @ 8:26 am

110820091266Ramai orang berlumba-lumba mengejar kekayaan tidak kira apa latar belakang dan kerjaya. Dalam kesibukan mengejar kekayaan, kerap kali perimbangan di antara pendapatan dan perbelanjaan menjadi semakin pincang. Hutang atau amalan kredit yang suatu masa dahulu satu penghinaan kini telah dianggap sebagai satu kebiasaan. Malah, ada yang menganggap hutang sebagai satu kemestian. Perubahan sudut pandangan ini menjadikan berleluasanya amalan berhutang dan kecekapan sesebuah ekonomi mula bergantung kepada kecekapan menguruskan hutang berbanding kegiatan ekonomi sebenar. Kesan buruk yang menimpa datang dalam berbagai pakej termasuklah ancaman kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara amnya.

Sejarah kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat yang mengkaramkan syarikat-syarikat besar pada penghujung 2007, 2008 dan awal 2009 adalah berpunca dari amalan kredit yang tidak terkawal. Setakat pemerhatian yang dibuat, belum ada lagi amalan kredit boleh dianggap sihat untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Suasana ini wujud kerana dua perkara iaitu kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan dan pandangan mereka terhadap hutang. Kadang-kadang kita tertanya-tanya adakah dengan memberi pinjaman institusi berkenaan mendapat keuntungan yang tinggi dan adakah hutang boleh mengkayakan seseorang? Kesilapan tasawwur sebenar dalam proses mencari kekayaan telah menyebabkan ketidakseimbangan berlaku di dalam institusi perbankan dan kekeluargaan.

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penemuan mangsa Ah Long yang dihukum ‘penjara’ tanpa peri kemanusiaan kerana tidak mampu membayar balik hutang. Sebut saja tentang Ah Long, ramai yang gambarkan tentang kesengsaraan yang dihadapi apabila berurusan dengan mereka. Mereka dengan sewenang-wenangnya membelakangkan pemerintah dan meletak undang-undang pada tangan mereka sendiri. Apa yang lebih malang, masyarakat sendiri yang membenarkan mereka berleluasa dengan mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan dek kerana desakan hidup. Walaupun Ah Long merupakan pilihan terakhir yang amat tidak sesuai untuk dipilih tetapi sesetengah masyarakat tiada pilihan lain lagi.

Sudut pandangan bahawa kaya itu apabila mempunyai kemewahan telah merencana tindakan masyarakat dan amalan ekonomi semasa. Budaya berhutang dijadikan satu kebiasaan di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan belia dan eksekutif muda untuk mendapatkan apa yang dihajati. Akibat permintaan yang tidak dikawal, penawaran hutang atau kredit juga tidak dipantau, satu pasaran kredit melibatkan permintaan dan penawarannya kini menjadi amat memberangsangkan. Penawaran kad kredit, pinjaman peribadi, skim pemilikan alatan dan kelengkapan rumah dan aksesori kenderaan, skim pemilikan rumah untuk disewakan dan berbagai bentuk lagi.

Perlumbaan penawaran amalan hutang ini menjadi semakin hebat apabila kita dapati sesetengah institusi bukan sahaja menawarkan kad kredit dengan sogokan hadiah tetapi mendesak pelanggan. Dari hari ke hari, semakin tinggi Key Performance Indicator (KPI) ditetapkan oleh institusi penawaran kredit kepada kakitangan pemasarannya untuk dicapai. Perlumbaan ini pada hemat penulis bakal menghambat gunatenaga Malaysia dan negara ke arah kemelesetan ekonomi untuk kali yang seterusnya dengan kewujudan kelompongan nilai ekonomi sebenar berbanding transaksi kewangan.

Hakikat yang perlu ditangani ialah amalan hutang di kalangan rakyat semakin membimbangkan. Menurut perangkaan Sistem Perbankan Bank Negara Malaysia, nisbah pertumbuhan pinjaman telah meningkat dari 6% (2007) kepada 11.7% (2008) berbanding peratusan peningkatan pendeposit dari 16.2% (2007) menguncup kepada hanya 10.9% (2008). Ternyata, sehingga akhir Jun 2008, sebanyak RM520 juta hutang tidak berbayar membabitkan 7,298 peminjam diuruskan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) manakala bagi tempoh Januari – April 2009 pula melibatkan 16, 626 individu. Berdasarkan perangkaan Bank Negara, hutang kad kredit berjumlah 24.4 Billion setakat akhir Mac 2009. Peningkatan kos sarahidup yang makin mahal (terutama di Bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Georgetown) akan terus menggalakkan lagi perkembangan amalan kredit di tempat-tempat berkenaan. Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ekonomi Malaysia diunjur mencatatkan kadar pertumbuhan negatif satu peratus hingga 1 peratus tahun ini (Bernama, 3 April 2009). Jelas kepada kita bahawa amalan kredit yang makin hari makin meningkat tidak seimbang atau tidak menggambarkan bahawa kredit mempunyai asas perkaitan dengan keadaan ekonomi sebenar.

Pola ini dianggarkan akan terus meningkat untuk tempoh berikutnya. Suasana ini berlaku kerana galakan hutang peribadi samada pada individu yang terlibat dalam perniagaan mahupun makan gaji. Sudahlah dikelilingi hutang sedia ada seperti hutang perumahan, kenderaan, pengajian, kelengkapan rumah ditambah pula dengan hutang peribadi. Akibatnya beban membayar balik hutang melebihi pendapatan sehingga menjejaskan kemampuan untuk menyediakan keperluan asas keluarga. Sebagai contoh, laporan yang diperolehi menunjukkan ada kakitangan kementerian tertentu menghadapi masalah lebihan 60% potongan gaji.

Namun, mereka yang berhutang ini tidak pula kaya atau bebas dari masalah kewangan malah berada di dalam keadaan lebih tertekan serta menjejaskan mutu kerja kerana terlibat dengan masalah kekurangan tunai, kerja sampingan atau tindakan buruk rasuah dan pecah amanah. Apabila terdapat kakitangan yang berada dalam kekangan kewangan yang meruncing, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti institusi keluarga berada di dalam keadaan yang tertekan. Walaupun berbagai tindakan diambil oleh pihak-pihak tertentu untuk memulihkan keadaan ini, ianya tidak akan berubah sekiranya kefahaman terhadap hutang tidak diubah.

Kaedah pinjaman terutamanya pinjaman peribadi telah dipermudahkan oleh institusi kewangan yang kurang peka kepada kesan buruk jangka panjang ke atas keseluruhan aturan kewangan. Namun, institusi kewangan juga bijak dalam mengelakkan mereka dari terdedah kepada risiko yang tinggi. Kemudahan pinjaman hanya dibuka kepada mereka yang terjamin bayaran balik melalui potongan gaji. Dengan ini, institusi kewangan dapat menyelamatkan bayaran ansuran kepada mereka sebelum wang tersebut sampai kepada kakitangan kerajaan. Dengan rancaknya skim-skim cepat kaya dan membuat keuntungan, maka ramai kakitangan kerajaan terjebak dan terperangkap dalam belenggu hutang bertahun-tahun apabila hasil pelaburan tidak kelihatan sedangkan potongan tetap berjalan.

Kita kadang-kadang mendengar bahawa ada orang kaya dengan berhutang. Sesetengah orang beranggapan orang yang kaya banyak hutang dan untuk menjadi kaya kena pandai bermain hutang. Tanggapan ini perlu diperbetulkan dengan membezakan apakah yang dimaksudkan dengan keperluan untuk berhutang. Adakah perlu kita berhutang untuk menyelesaikan masalah kewangan dan ketidakcekapan kita mengurus perbelanjaan? Kalau perlu, maka tidak perlu kita berusaha untuk mendapatkan pendapatan kerana dengan berhutang, segala keperluan boleh diperolehi. Hutang hanya perlu dan sesuai apabila ingin menggunakan kemudahan tersebut ke arah usaha menyuburkan lagi asas modal awalan lain atau untuk perniagaan atau pelaburan. Hasil dari usaha mengurus modal-modal ini, ‘harga’ atau kadar sesebuah peruntukan pinjaman dalam bentuk usahasama atau perkongsian dapat pula diagihkan.

Harga yang dikenakan ke atas pinjaman tanpa pertukaran kecambahan modal lain dianggap sebagai riba. Inilah antara hikmah pengharaman riba dalam Islam kerana riba tidak mencerna kecambahan sumber modal awalan. Aqad muamalah perkongsian sesuatu pelaburan melalui peruntukan kewangan dari satu pihak kepada pihak yang lain mestilah disertakan bersama unsur kecambahan harta dalam gabungan modal-modal seiring dengan risiko ke atas muamalah juga dikongsikan. Apabila muamalah tanpa unsur ini tetapi melibatkan bayaran balik secara berlebih dari peruntukan asas maka ianya dianggap sebagai muamalah beriba. Walau apa nama diberikan atau apa perantaraan aqad tersebut seperti sebidang tanah atau saham tertentu, ia tetap muamalah yang samar (dzan) di sisi syarak.

Ada sesetengah pihak beranggapan bahawa individu sekarang tidak dapat lari dari amalan berhutang. Keadaan ini berlaku kerana terdapat banyak kemudahan hutang yang disediakan oleh institusi kewangan sehingga mengaburi mata si peminjam. Sekali imbas, seolah-olah dengan berhutang, kita nampak bijak dalam menguruskan aliran tunai berbanding pendapatan, tetapi semua ini tidak semudah yang difikirkan.

Terlalu sedikit badan yang bersedia untuk memberi wang tanpa mendapatkan tambahan pulangan kepada asas yang diberikan walaupun Islam melarang keras pengambilan riba. Akibatnya, berbagai jenis bentuk kontrak muamalah dicetuskan untuk membolehkan amalan ini. Sedangkan hutang yang dibolehkan dalam Islam hanyalah Qardh Hasan iaitu hutang yang tidak dikenakan apa-apa bayaran ke atasnya. Amalan ini telah menjadi kebiasaan dan sesetengah pula menganggap sama saja di antara riba dan muamalah perjanjian jualbeli sebagaimana yang telah ditempelak di dalam al-Quran. Demikianlah tidak kekoknya sesebuah institusi melaksanakan ‘muamalah jualbeli’ tetapi semasa meminta balik bayarannya mereka menyatakan bahawa tergantung amalan seseorang sekiranya hutang tersebut tidak dilangsaikan. Sekiranya betul aqad yang dibuat itu jual beli, maka tidak timbul soal kutipan balik hutang tetapi mungkin kerugian hasil dari perkongsian dalam jualbeli tersebut.

Dalam dunia perniagaan, modal tidak sewajarnya diperolehi dengan jalan berhutang kecuali melibatkan urusan perniagaan yang besar jumlahnya. Itupun melalui asas perkongsian keuntungan berdasarkan jangkaan pendapatan sesebuah perniagaan. Malangnya, ada sesetengah pihak menjalankan perniagaan dengan semua modal diperolehi dengan cara berhutang. Keadaan ini akan mengurangkan kadar keuntungan kerana mereka terpaksa membayar harga tertentu ke atas pinjaman tersebut. Keadaan ini ditambah pula dengan kekurangan pengalaman dan kemampuan menyebabkan usaha sahaja sebagai satu cara untuk menggandakan pulangan perniagaan. Akhirnya, peniaga menjadi alat untuk institusi kewangan mengaut keuntungan dan perniagaan tidak ada daya saing serta kurang peluang untuk maju. Modal perniagaan bukan sahaja dalam bentuk duit, oleh itu perlu difahami bahawa modal yang lebih penting adalah kemampuan seseorang itu dari segi kemahiran pemasaran dan pengurusan, pengalaman tentang barangan atau perkhidmatan, kemahuan dan kesanggupan menghadapi dugaan, kenalan perhubungan dan kekuatan barangan yang hendak diniagakan. Mendapatkan kemudahan pinjaman memanglah mudah tetapi tidak boleh dianggap remeh sekiranya ingin berjaya dalam urusan perniagaan yang diceburi. Mereka yang lemah penguasaan mengurus kecukupan sedia ada akan sukar memperolehi apa yang berada di luar dari kemampuannya.

Orang yang terlibat dengan hutang secara tidak wajar sebenarnya berada dalam lingkungan sikap tidak mahu susah dan tidak faham tentang maksud sebenar ikhtiar. Lantaran ‘kecukupan’ kehidupannya terlampau tinggi, mereka terpaksa mendapatkan sumber kewangan dengan cara berhutang untuk memenuhi kecukupan ini. Hutang dijadikan sebagai cara mendapatkan sumber bagi menyelesaikan masalah kelemahan mengurus kewangan mereka sendiri.

Hutang layaknya kepada mereka yang dianggap sebagai betul-betul memerlukan. Dasarnya tetap sama iaitu pinjaman tersebut tidak boleh dikenakan apa-apa tambahan sama ada dipanggil bunga atau kadar keuntungan. Institusi mana yang cukup berani untuk memberi pinjaman kepada mereka yang belum terjamin pembayaran balik?

Inilah keadaan yang terang-terangan telah ditegah oleh al-Quran dalam menghalalkan sesuatu yang haram khususnya pengambilan riba. Di dalam sebuah buku Mukashafah al-Qulub (karangan al-Ghazali) mengetengahkan betapa laknatnya pengamal riba. Rasullullah s.aw bersabda “Riba sebanyak satu dirham yang dimakan oleh seseorang lelaki di mana mengetahuinya, lebih berat dosanya daripada tiga puluh enam zina” (r.a Ahmad & At-Thabrani). Dalam hadith lain, Rasullullah bersabda yang bermaksud “Pemakan riba itu akan dibalasi dengan tujuh puluh dosa. Yang teringan ialah seperti seorang lelaki menjimak ibunya.” Sesungguhnya, amalan ini akan mengundang seksa Allah.

Maksud sebuah hadith bahawa kefakiran menghampiri kekufuran tidak terhad kepada faham tersurat tetapi lebih menjurus kepada kefahaman tersirat iaitu kefakiran pengetahuan dan kemahiran yang mendorong manusia ditipu dan akhirnya mengarah kepada kekufuran. Sama halnya bagi mereka yang tidak mengendahkan maksud sebenar kekayaan dengan berlumba-lumba memperbanyakkan harta kemewahan. Sebenarnya kekayaan itu apabila sedikit kecukupannya. Apabila dengan sedikit kecukupan sudah memadai, maka lebihan dari kecukupan itulah memberi maksud seseorang itu kaya. Secara tidak langsung, minda dan hati akan lebih bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan dan berusaha secara telus serta tidak meletakkan kebendaan sebagai matlamat utama. Semua ini terpulang kepada cara seseorang menafsirkan pandangan hidup. Kalau kita masih samar tentang tempat yang dipandangnya, bagaimana mungkin dapat menuju ke sana dengan jayanya. Seperti yang ditegaskan oleh Tun Dr. Mahathir dalam sesi wawancara dalam ruangan “Ilhamku” di IKIM.fm baru-baru ini, untuk berjaya dan menjadi bangsa yang bermaruah, masyarakat perlu membentuk peribadi mulia dan menteladani keperibadian Rasullullah s.a.w.

August 7, 2009

Khidmat perubatan membenteras tekanan

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:51 am

Mohd Noor Bin Omar 23/02/2006 | Artikel Bahasa Malaysia

Tekanan dapat mengancam kehidupan kita, berpengaruh pada ketenteraman di rumah, pekerjaan di pejabat dan tempat kerja yang lain, di sekolah-sekolah dan pelbagai kegiatan yang lain. Tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan. Tekanan adalah apa saja yang menimbulkan perasaan tegang, takut, marah atau kecewa. Akan tetapi jika tekanan yang berlebihan dan berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan jasmani dan aqli. Tekanan dapat timbul dari dalam diri individu itu sendiri tetapi dapat pula timbul dari luar dirinya iaitu dari orang lain serta keadaan disekitarnya. Kepenatan dalam bekerja pada akhirnya dapat menimbulkan tekanan baik jasmani mahupun aqli. Tekanan hidup adalah satu kemestian dalam kehidupan. Setiap yang hidup, selalunya mesti ada merasai tekanan hidup dalam usahanya untuk meneruskan kehidupan. Boleh dikatakan, setiap perasaan yang kita rasakan dan setiap pekerjaan yang kita lakukan, boleh mendatangkan �stress� sekiranya tidak dapat diurus dan diatasi dengan baik.

Berbagai kajian dijalankan untuk menguraikan takrif tekanan dan mencari punca dan jalan penyelesaiannya. Namun, dalam ajaran Islam, manusia telah diajarkan dengan perkara paling dasar yang dapat mengatasi keadaan tekanan ini. Konsep Shahadah yang kita ketahui dengan jelas menafikan unsur lain sebagai lebih berpengaruh kecuali Allah. Begitu juga dalam menjelaskan tentang maksud Qada’ dan Qadar seperti fahaman Ahli Sunnah wal Jama’ah. Apa yang jelas di sini ialah, tekanan sebenarnya berpunca dari penyakit hati, dalaman dan urusan berkenaan dengan roh. Begitulah kesimpulan yang dibuat oleh Rasullullah tentang adanya seketul darah yang sekiranya baik maka baiklah keseluruhan manusia itu iaitu hati.

Dalam kaedah menyelesaikan tekanan perspektif Islam, kita perlu memahami hakikat kehidupan ini� dengan cara yang lebih halus dan mendalam. Kegagalan jentera pentadbiran dan pengurusan sesuatu badan atau kelemahan individu tertentu bergantung kepada bagaimana mereka mengurus diri sendiri. Pembentukan rohani muslim yang sejati memerlukan pemahaman yang meliputi segala ciri aqidah atau falsafah, syariah atau kaedah dan akhlak.

Tekanan merupakan fitrah kehidupan manusia. Berdasarkan setengah ayat al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan kita tidak akan sunyi dari ujian dan kesusahan. Segala bentuk ujian dan kesusahan itu akan membentuk tekanan-tekanan kepada manusia. Sekiranya kita berjaya menanganinya, maka akan diberi ganjaran pahala di sisi Allah SWT, akan tetapi jika gagal maka akan hanya mendapat kekecewaan yang pelbagai bentuk dan rupa. Tekanan selalu dikaitkan dengan keadaan buruk, kerana dengan tekanan seseorang boleh berubah sikap/sifat secara mengejut seperti : lekas marah, merasa malu, muram, mudah letih, gugup, rendah diri, merasa sunyi dan sebagainya. Antara tanda-tanda yang mempengaruhi sikap ialah selalu ponteng kerja, kurang akrab dengan rakan sekerja, malas bekerja, tidak mematuhi peraturan kerja, hasil kerja yang tidak memuaskan dan banyak lagi.

‘Stress’ perlu ada di dalam setiap individu yang berkebolehan. ‘Stress’ yang seperti inilah yang dapat merubah nasib sesuatu kaum kerana ianya menyebabkan masyarakat kaum tadi berusaha dengan lebih gigih lagi dan berfikir dengan lebih mendalam lagi. Akan tetapi, ‘stress’ yang keterlaluan dan yang tidak dipimpin keimanan dan kewarasan akal boleh membahayakan.

Para pengkaji telah memberikan beberapa jenis atau punca tekanan dalam organisasi seperti waktu bekerja yang panjang (tekanan kerja), maklumbalas yang buruk, kurang sokongan, sentiasa dinilai dan ditegur, terjadinya kejadian yang terlalu banyak dalam masa yang pendek, kehilangan, kebosanan, kekecewaan, ketidakseimbangan jasmani, perubahan corak kehidupan, masalah keretakan rumahtangga, hutang yang banyak, banyak melakukan dosa dan jenayah. Tetapi yang paling penting di sini ialah tidak redha dengan ketentuan Allah SWT (qada’ dan qadar), tidak bersyukur dengan nikmat yang ada, punca dalaman (hati yang kotor, ingkar), pegangan hidup yang buruk, pengurusan kendiri yang lemah (kelemahan pengurusan masa) dan suka mencari kelemahan orang bagi menutup kelemahan diri.

Semua punca-punca ini kemudiannya akan mempengaruhi akal fikiran dan kemudiannya jasmani individu tersebut dari segi penyakit, ketegangan otot-otot, denyutan jantung yang laju dan tidak tetap, sakit kepala, rasa letih, lesu dan berbagai lain lagi.

Cara menguruskan tekanan yang paling berkesan ialah dengan memahami secara tepat dan menyeluruh tentang pandangan hidup dan tasawuf Islam sama ada dari segi penghayatan ibadah atau penyelarasan aqidah dan niat dengan kehidupan seharian, dan yang paling mustahak ialah memahami dan menghayati apakah matlamat hidup kita.

Secara teraturnya, dalam mengubati tekanan boleh dicirikan secara menegak dan melintang.

Hanya dengan berzikir dan mengingati Allah akan menimbulkan rasa tawakkal dan perasaan menyerah diri kepada Allah SWT. Sekiranya apa yang kita telah perolah itu luput atau hilang maka dengan mengingati Allah SWT kita akan sedar bahawa kewujudannya mungkin hanya akan memudaratkan kita. Dengan itu, yang timbul bukannyan rasa kecewa atau sesal, tapi rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT.

Berterima kasih kepada Allah SWT dan jangan sekali-kali mencari balasan atau mengharapkan ucapan terima kasih dari orang lain kepada kita.

Di samping itu, membaca Al-Quran disertakan dengan pemahaman maknanya juga merupakan salah satu daripada perubatan tekanan. Orang yang sentiasa bersama mereka ayat al-Quran dan pemahaman mendalam tentang maksudnya boleh mengelakkan dari menjadi pelupa atau menjadi terlalu bersifat lemah berbanding usia sebenar. Al-Quran merupakan cahaya, hidayah dan penyembuh bagi segala penyakit sama ada yang berkaitan dengan rohani atau pun jasmani. Dengan membaca al-Quran disertai dengan memahami, mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran, seseorang itu berupaya menenangkan dan mententeramkan fikiran, hati dan jasmani.

Hidupkan waktu malam (Qiyamullail) iaitu bangun ditengah malam dengan meninggalkan segala kenikmatan tidur untuk menyembah Allah. Bahkan Rasul SAW dalam menerangkan kepentingan tahajjud, apabila seseorang itu bangun ditengah malam semata-mata untuk mengingati Allah, dia bersusah payah berwuduk dan bersolat maka hatinya akan menjadi tenang dan dikuatkan jasmaninya. Orang yang mengurus masa dengan bijak akan mempergunakan lebihan keperluan tidur mereka kepada perkara yang lebih berfaedah. Tidak hairanlah kenapa ramai orang berjaya telah mempergunakan sebaik mungkin sepertiga malam ini.�

Tidak terhenti di situ, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela juga sebahagian daripada kaedah perubatan berkesan mengurus tekanan seperti hasad dengki, takabbur, ujub, riya’, bakhil, mencintai kemasyhuran, pemarah, mengumpat, mengadu domba, berdusta ,banyak berkata sia-sia dan banyak lagi. Dengan bekalan sifat-sifat terpuji seperti taubat, takut kepada Allah, zuhud, sabar, redha, syukur, ikhlas, tawakkal, mencintai Allah dengan sesungguhnya.

Apa yang penting ialah mencipta satu kehidupan yang berhakikat dengan sentiasa mengingati mati. Selain daripada itu, banyak lagi kaedah perubatan tekanan yang tidak bercanggah dengan al-Quran seperti cara penafasan, aeromaterapi, mengawal makanan, mandi dengan air suam, bersedekah, mudah tersenyum, berwudhuk atau melibatkan diri dengan kegiatan sukarela atau bergotong royong.

Tekanan memang merupakan fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian dari Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi Allah SWT. Islam telah menetapkan setiap manusia akan diuji bagi mencari calon yang terbaik bagi memenuhi syurga Allah SWT. Bagi seorang mukmin itulah sebesar-besar ganjaran yang diimpikan.

Berniaga Kecil-kecilan

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:50 am

Mohd Noor Bin Omar 07/02/2006 | Berita Harian

Buku Panduan Peniaga Kecil karangan Tun Dr. Mahathir Mohamad cetakan 1982 ternyata menjawab banyak persoalan kegagalan kebanyakan peniaga-peniaga kecil yang berlaku sekarang. Buku ini patut diberi perhatian dalam proses kerajaan menggalakkan industri asas tani negara. Saranan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan industri ini kepada syarikat-syarikat besar satu cadangan yang baik. Bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan sering menghadapi kebuntuan apabila peniaga gagal dan kecundang di pasaran yang penuh cabaran.

Kita amat biasa dengan menanam azam ketika tibanya tahun baru tetapi azam itu tenggelam dalam kekalutan berbagai rintangan yang dihadapi sepanjang tahun. Kebetulan pula tahun ini kita menyambut Awal Muharam tahun 1427H hanya berbeza sebulan daripada Tahun Baru 2006, azam-azam yang lepas masih akan dijadikan azam pada tahun-tahun akan datang sekiranya masalah sikap tidak diberi tumpuan. Memang perkara pokok dalam kegagalan ini adalah sikap, tetapi tidak memadai dengan ungkapan umum, sikap yang dimaksudkan di sini ialah dari segi tumpuan, kesungguhan, kebolehan, kecekalan dan pengalaman perlu diambilkira terutamanya kepada peniaga kecil. Menceburi bidang perniagaan tanpa persiapan yang rapi hanya akan membawa kerugian kepada peniaga.

Bukan kerana nama yang diberikan membuatkan peniaga kecil tidak berjaya tetapi kerana aturan disiplin berniaga diabaikan. Walaupun dinamakan berniaga kecil-kecilan kerana kekangan masa, modal, kemampuan dan sebagainya tetapi, berniaga kecil-kecilan perlukan tumpuan yang serius. Unsur-unsur penting dalam aturan berniaga perlu dipegang bersungguh-sungguh. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan dalam perniagaan lebih banyak melibatkan mereka yang berniaga secara kecil-kecilan daripada syarikat yang menjalankannya secara besar-besaran. Ada juga perniagaan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia oleh perseorangan tetapi tidak ada apa-apa perniagaan atau keuntungan yang dibuat sehinggalah tarikh pendaftaran mereka luput.

Keuntungan sememangnya menjadi matlamat utama dalam memilih jenis dan bidang perniagaan tetapi sekiranya keuntungan semata-mata diukur untuk memasuki alam perniagaan tidak memadai. Keuntungan yang diperolehi oleh seseorang dalam sesuatu jenis perniagaan tidak menjamin keuntungan yang sama berlaku ke atas orang lain. Sebagai contoh, peniaga makanan tidak perlu ghairah dengan getah dan rangkaian industri ini kerana melihat mereka yang terlibat mengaut keuntungan dengan kenaikan harga yang melambung sekarang ini. Sekiranya mereka ingin menceburinya pada waktu ini, penglibatan dana yang besar perlu disediakan dengan kos yang tinggi. Peniaga makanan perlu sedar potensi industri makanan kerana kerajaan memperuntukan RM10 billion untuk mengimport makanan sepanjang tempoh setahun.

Kecenderungan untuk mendapatkan keuntungan tanpa desakan matlamat lain cenderung membuatkan peniaga cemas dan kurang cergas dalam perniagaan. Sekiranya tujuan peniaga adalah keuntungan, mereka boleh bertindak menjadi pelabur sahaja. Pelabur hanya menyuntik modal kewangan dan mengharapkan pulangan yang lumayan dalam jangkamasa tertentu. Sekiranya pelaburannya dijangkakan akan mengalami kemelesetan, mereka akan menarik keluar modal sebelum mengalami kerugian dan melabur ke dalam bidang lain pula.

Peniaga perlu berhati-hati dengan percanggahan pengaruh menukar-nukar jenis perniagaan kerana melihat orang lain maju dalam sesuatu jenis perniagaan. Pilihlah jenis perniagaan yang sesuai dengan pengalaman, kebolehan dan modal serta jangan sekali-kali membuat perniagaan dengan modal yang seratus-peratus dipinjam. Di samping itu, rancangkan perniagaan supaya ia dapat hidup subur kekal dan akan menjadi lebih besar pada masa hadapan

Apabila kebolehan dan pengalaman telah dikaji, dengan mudah pula dapat dikatakan sejauh mana kesanggupan atau kemampuan kita untuk menjalankan perniagaan itu. Soal wang modal akan menjadi halangan hanya jika pemilihan perniagaan tidak sesuai dengan kemampuan kewangan. Kerajaan telah mewujudkan berbagai skim bantuan untuk memajukan sesuatu bidang yang berpotensi seperti pertanian, teknologi maklumat, sains dan penyelidikan. Apa yang peniaga perlu ada ialah kekuatan dalaman ini berserta dengan usaha yang berterusan.

Kebijaksanaan mengurus perniagaan terletak kepada sejauh mana pengetahuan yang peniaga ada. Sekiranya mengurus modal, maka peruntukan pembelian barang-barang tambahan apabila perniagaan berjalan perlu ada. Ini perlu untuk menunjukkan bahawa perniagaan semakin maju. Kemampuan modal pusingan mestilah cukup untuk belanja perniagaan selama sekurang-kurannya satu tahun bagi menampung keadaan tidak untung yang dialami oleh semua perniagaan pada waktu permulaan. Jangka masa untuk mendapat keuntungan bergantung kepada jenis dan besarnya perniagaan. Semakin besar perniagaan, semakin lama mesti diperuntukan atau ditunggu sebelum mendapat keuntungan.

Memanglah payah berniaga, tetapi biar payah dahulu sebelum berjaya. Masyarakat cina yang yang berkampung di seluruh pelusuk dunia dikenali sebagai keturunan berniaga yang sanggup bersusah untuk generasi mereka yang akan datang. Perancangan dan strategi jangka panjang ini juga perlu diterapkan di dalam jiwa peniaga. Meniaga bukan sekadar untuk mencari sara hidup keluarga dan persekolahan anak tetapi untuk memartabatkan maruah bangsa dan agama dalam episod kehidupan yang akan datang. Masyarakat melayu pula yang dikenali sebagai petani dahulunya mungkin perlu menjadi petani moden yang serba mahir dan tekun dalam bidang mereka.

Memang telah banyak perniagaan gulung tikar terutamanya apabila keputusan diambil berdasarkan kajian yang singkat. Kalau kita tengok sesebuah perniagaan berjaya di kawasan bandar dan cuba menjalankan konsep yang sama di kawasan kampung, sehingga suatu masa, perniagaan tersebut tamat riwayatnya kerana salah tempat. Tempat juga memainkan peranan penting. Kalau kita buka kedai baikpulih kereta di bandar, kedai tersebut akan maju kalau kena caranya. Tetapi sekiranya kedai yang sama dibuka di kampung yang kebanyakan penduduknya menggunakan motosikal, maka kemajuan kedai tersebut mungkin terjejas dan akhirnya tutup kerana kurang pelanggan dan sering mengalami kerugian.

Walau dalam apa keadaan pun, penetapan harga perlu mengambil kira kos mendapatkan barangan tersebut dan kemampuan pembeli. Mengurus dan menyimpan kira-kira masuk dan keluar pengaliran wang bukan satu pengecualian. Ini penting kerana salah satu perkara yang tidak boleh diharapkan ialah ingatan manusia sebab manusia sentiasa lupa. Penulis amat bersetuju dengan pandangan Tun Dr. Mahathir yang disebutkan dalam buku beliau selari dengan kupasan ulamak-ulamak terdahulu bahawa asas perkataan ‘insan’ itu dari perkataan ‘nasiya’ iaitu bermaksud lupa.

Kira-kira amat penting sekali dalam perniagaan. Ramai peniaga kecil beranggapan kira-kira tidak penting, maka kira-kira perniagaannya tidaklah perlu ditulis. Anggapan bahawa peniaga kecil tidak perlu menyimpan kira-kira tidak betul. Samalah dengan pekerja yang mendapat pendapatan dengan cara makan gaji. Keuntungan dan kerugian atau masuk keluar wang tidak dapat ditentukan. Kadang-kadang nampak macam untung atau berlebihan tetapi selalu tidak ada wang. Umpama tidur berselimutkan kain kecil, ditarik ke atas atau ke bawah, masih ada bahagian yang tidak kena. Sekiranya dicatatkan, kita tahu ke mana perginya wang tersebut. Perancangan untuk mengurangkan atau menambah sesuatu barang boleh dibuat dengan adanya maklumat kira-kira ini. Di setiap penghujung kira-kira, peniaga boleh menganalisa dan menilai perniagaannya sendiri serta merancang pemasaran untuk memajukan lagi perniagaannya.

Teknik pemasaran melalui iklan dan publisiti juga memainkan peranan penting. Sesuatu barang kadang-kadang sama saja tetapi pengguna cenderung menggunakan sesuatu jenama? Ini kerana kekuatan iklan atau publisiti. Berbagai teknik publisiti boleh dibuat untuk menarik pembeli. Iklan dibuat dengan cantik dan menarik dengan perbelanjaan yang tinggi. Tetapi ini semua adalah pelaburan dalam melariskan produk. Kalau dulu masyarakat kita guna ubat guna-guna untuk melariskannya tetapi sekarang, di zaman pengetahuan ICT iklan digunakan untuk menggantikan semua ini.

Walau apa cara sekalipun, peniaga perlu sentiasa bersedia. Dalam perniagaan persaingan tidak dapat dielakkan. Persaingan memang baik untuk menjaga supaya harga barang tidak meningkat di luar munasabah dan memastikan layanan kepada pembeli tidak menjadi buruk. Bagi peniaga kecil-kecil yang baru bertapak, persaingan boleh mengancam kemajuan perniagaan dan boleh memakan diri mereka sehingga terpaksa gulung tikar. Menghadapi persaingan bukan setelah perniagaan berjalan tetapi sebelum dijalankan lagi. Tekanan persaingan inilah merupakan alasan paling kukuh untuk merancang dengan teliti. Kalau tidak dapat bersaing dan apa yang ditawarkan tidak setanding maka bersedialah untuk menunggu kedai yang tak berpenggunjung.

Kaedah Alternatif Meningkatkan Ekonomi

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:46 am

Mohd Noor bin Omar 02/12/2005

Mempunyai satu laman web perniagaan seolah-olah menguasai sebuah gedung pasaran luas atau hypermarket yang boleh menembusi pasaran global. Internet adalah pasaran di mana seseorang boleh menjalankan perniagaan ke seluruh pelusuk dunia, tanpa halangan politik, masa, sempadan, bangsa dan jantina. Seseorang peniaga hanya perlu membangunkan laman webnya, mempromosikan barangan dan membuat transaksi secara talian atau online.

Sebagai menyambut saranan Timbalan Perdana Menteri untuk melahirkan masyarakat yang glokal, para usahawan kini perlu menguasai pasaran dunia dengan mempunyai kemahiran memasarkan melalui internet. Peluang ini tidak sepatutnya dipandang sepi oleh masyarakat dalam proses kelangsungan memacu perkembangan ICT seiring dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi.

Sebenarnya berniaga melalui internet tidak sepayah yang disangkakan, malah mempunyai nilai tambah berlipat kali ganda dalam mempromosikan, memasarkan dan melakukan transaksi. Berbeza dengan kaedah berniaga secara biasa, peniaga maya tidak perlu mempunyai modal yang banyak, gudang besar, kakitangan yang ramai, peralatan dan sebagainya. Namun kelebihan ini masih dirasai asing kerana tiada pengetahuan, sikap negatif yang ada dalam diri kita dan kurangnya budaya meniaga. Apabila disebut sahaja berniaga menggunakan internet, masing-masing merasa janggal dan takut. Beribu persoalan timbul dalam fikiran tetapi malangnnya tidak diikuti dengan usaha untuk mencari jawapan tersebut.

Persoalan serius di kalangan sesetengah masyarakat ialah apakah barangan atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan. Kegagalan mendapatkan jawapan ini boleh membantutkan hasrat mereka yang mula berjinak-jinak dengan perniagaan. Sebenarnya, jenis barangan atau perkhidmatan yang boleh dan berpotensi memberi keuntungan boleh dikenalpasti juga melalui internet. Dengan hanya beberapa klik dibantu oleh pemahaman tentang permintaan, penawaran, pasaran, harga dan sedikit kajian, seseorang boleh mengenalpasti produk yang ingin dipasarkan.

Setelah senarai pilihan produk dikenalpasti, peniaga maya perlu juga membuat persediaan untuk mendapatkan bekalan produk tersebut, penetapan harga, pembungkusan dan penghantaran. Transaksi berlaku apabila ada pertukaran barangan dan pembayaran. Peniaga mestilah menyediakan kaedah pembayaran terbaik yang mudah dibuat walaupun permintaan diterima dari penjuru dunia. Manakala penghantaran boleh dibuat melalui syarikat penghantar yang mana bayaran penghantaran ditanggung oleh pembeli.

Di antara keperluan asas lain ialah penguasaan teknik pemasaran produk di internet. Menguasai kaedah ini amat penting sekali kerana kebiasaannya, pembeli di internet akan membuat carian melalui search engine produk yang dikehendaki dan mengutamakan syarikat penawar produk tersebut yang berada di halaman pertama hasil carian tersebut. Syarikat penawar yang berada di tangga teratas akan menjadi pilihan diikuti dengan syarikat seterusnya. Amat jarang sekali pelayar internet melihat halaman seterusnya. Peniaga maya perlu bijak untuk meletakkan syarikat mereka di halaman pertama dan di dalam senarai teratas.

Rekabentuk dan maklumat di dalam laman web perlu dibuat dengan sebaik mungkin untuk menarik dan memberi keyakinan pembeli untuk berurusniaga. Tidak seperti perniagaan biasa, pembeli boleh sekiranya perlu untuk melihat, memegang dan sebagainya barangan yang ingin dibeli. Teknik-teknik boleh dipelajari dari berbagai sumber seperti penyedia latihan, perunding atau penyedia laman web (web hosting). Pusat Perundingan dan Latihan IKIM (PPLI) bersedia membina modul kursus ini dan mengumpul pakar-pakar ICT sekiranya permintaan menggalakkan. PPLI ingin memastikan setiap peserta berupaya membangunkan web perniagaan sendiri dan menjadi seorang peniaga maya yang berjaya.

Peniaga tidak semestinya mengetahuinya secara teknikal untuk menjadi peniaga di internet. Bagi individu yang kekurangan modal tetapi ingin mencuba, mereka bolehlah mempelajari kemahiran asas dalam perniagaan internet dan melakukannya sendiri dengan kadar yang cukup rendah tetapi menjanjikan pulangan yang amat menggalakkan. Sekiranya peniaga mempunyai sokongan modal yang kuat, mereka boleh mendapatkan khidmat perunding internet berkepakaran untuk melakukan semua kerja ini. Yang penting di sini ialah jangan pinggirkan perniagaan maya kerana ia adalah peluang yang amat baik untuk kita menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Ini merupakan berita baik kepada surirumah yang menghabiskan masa dengan menonton siri drama di telivisyen dan siswazah yang menganggur tetapi bercita-cita ingin kaya. Tidak salah mencuba tetapi mestilah ada kemahuan yang tinggi dan sedia berkorban serta berani. Statistik menunjukkan bahawa negara China dikenalpasti sebagai negara yang mengalami pertumbuhan perniagaan internet yang amat menggalakkan dan medan pasaran yang amat luas serta meningkat dari masa ke semasa. Mentaliti dan kecenderungan untuk makan gaji tidak perlu diletakkan sebagai keutamaan lagi dalam menjana pendapatan. Kita sepatutnya boleh membezakan di antara matlamat dan cara, bukannya cara disalahanggap sebagai matlamat dan dijadikan sebagai halatuju walaupun halatuju tersebut tidak sesuai lagi dengan keadaan pasaran pekerjaan semasa. Hakikatnya, makan gaji semata-mata tidaklah seselesa mana.

Merasakan berada dalam keselesaan dan betul-betul selesa adalah dua keadaan yang amat jauh berbeza. Beranggapan selesa lahir dari sikap awal masyarakat yang berpunca dari perasaan malas berfikir dan berusaha, suka menangguhkan sesuatu pekerjaan membawa kepada kelembapan bertindak dan berjaya. Kita sering war-warkan bahawa masa itu emas tetapi tidak berupaya menukarkannya menjadi seketul emaspun.

Sikap antara faktor penyebab sesetengah kumpulan berjaya atau tercicir. Sikap selesa dengan apa yang ada dan lemah dalam berusaha menjadi cara hidup dan tidak akan memberi apa-apa kelebihan kepada sesebuah organisasi yang menggunakan khidmat mereka. Sikap malas berfikir dan tidak proaktif perlu diganti dengan sikap bijak mencari peluang dan sanggup menghadapi kesusahan.

Kalau sekiranya perniagaan di internet milik mereka boleh menjanjikan pendapatan lumayan, adakah mereka masih digolongkan di dalam kelompok yang dikatakan tidak produktif, kurang kemahiran komunikasi, kelas kedua atau buta ICT?

Jenis barangan dan perkhidmatan tidak menjadi masalah, tetapi dengan syarat kita tahu di mana dan bagaimana untuk mendapatkannya dan seterusnya menghantar kepada pembeli. Tidak semestinya peniaga mempunyai perniagaan secara fizikal. Apa yang penting di sini ialah membangunkan website secara professioanal, mempromosikan website secara online dan mengemaskinikan website tersebut. Sekiranya menjalankan perniagaan menjadi suatu perkara serius di dalam hidup, perkara penting yang perlu diutamakan ialah memilih syarikat dan consultant website yang berkebolehan memberikan khidmat nasihat dan menyediakan pembayaran secara online. Peruntukan masa untuk menilai kemahiran dan kekuatan kita, sudah pastinya kita akan temui sesuatu yang sesuai untuk kita dagangkan di website. Sekiranya terlalu sukar untuk mendapatkan website sendiri, buatlah pasaran barangan kita melalui perkongsian website dengan rakaniaga lain yang berupaya menawarkan berbagai-bagai produk dan perkhidmatan dalam satu website.

Program gabungan website juga memberikan impak yang sama dari segi pemasaran barangan dan perkhidmatan. Boleh juga bagi website yang dibangunkan untuk tujuan social atau bukan atas dasar keuntungan dikembangkan dengan membangunkan program gabungan dalam satu-satu sudut tertentu website tersebut. Perkara yang penting yang perlu diingat ialah, jangan terlibat terlalu banyak program gabungan kerana ia akan kenyulitkan kita. Pilih program gabungan dengan berhati-hati supaya kita tidak terkandas dengan kesulitan mengurus dan memproses transaksi.

Bayangkanlah sekiranya kita memasarkan barangan seperti produk-produk kraftangan, hasil tani yang tahan atau kemahiran mengubati pesakit menggunakan pendekatan tradisional ke pasaran antarabangsa. Pembukaan system francais boleh dilanjutkan hasil dari permulaan menggunakan teknologi pasaran internet.

Peniaga di internet juga perlu berwaspada dengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi system ke arah keuntungan mereka. Begitu juga system money laundering yang diperkenalkan oleh sesetengah pihak melalui penipuan. Ramai golongan peniaga dan remaja tertipu dengan skim-skim ini sehingga sebahagiannya mengalami kehilangan wang. Sebagai contoh, ada pihak-pihak tertentu yang menerima email mengatakan bahawa beliau terpilih untuk menerima sejumlah wang dan dikehendaki mengikuti langkah-langkah tertentu sehingga mereka tertipu dan mengalami kerugian yang besar. Pengguna juga perlu berhati-hati dengan system cepat kaya maya, multi-level marketing (MLM) atau apa-apa skim yang tiada asas lojik dalam operasinya. Begitu juga kepada peniaga di internet perlu mempunyai etika untuk tidak melakukan perkara-perkara seumpama ini dalam internet.

Kemahiran yang perlu di sini ialah berupaya menilai pakej dan skim yang ditawarkan oleh penyedia host agar kita tidak terjebak ke dalam masalah ketamakan yang kritikal sehingga menyebabkan kerugian. Mulalah dengan berjinak-jinak dengan internet. Rangsangan teknologi internet akan memberi satu pelantar pasaran yang amat luas dan tidak sepatutnya dipandang sepi tanpa sebarang tindakan. Gunakanlah nikmat ilmu yang diberikan dengan cara memanfaatkanya ke tahap yang sewajarnya. Tambahan dalam modal individu dan pelaburan semula modal bagi menambah pendapatan amat penting untuk pengurusan rumahtangga bahagia. Usaha penambahan modal pendapatan amat digalakkan di dalam Islam dan menjadi asas dalam pengurusan modal dalam Islam. Begitulah system syariah yang menggalakkan zakat supaya hasil usaha menjadi cambah dan mengharamkan riba yang mengaut keuntungan tanpa usaha sewajarnya serta galakan melabur semula terhadap apa-apa modal yang dimiliki dengan jalan jual beli.

Kepentingan Perancangan Kewangan

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:44 am

Mohd Noor Bin Omar 05/08/2005 |

Masyarakat yang merdeka memiliki kebebasan kewangan. Bebas membuat pilihan dan keputusan dengan kemahiran kewangan serta tidak terikat dengan kongkongan hutang, keterbatasan kuasa beli, kelegaan dari liabiliti jangka panjang dan beban psikologi krisis kewangan. Fenomena terkini yang amat ketara ialah skim pembelian secara ansuran mudah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perkara ini timbul kerana wujudnya permintaan yang merangsang pertumbuhannya. Tanpa disedari, ramai pengguna memilih membeli barangan menerusi skim ini kerana keupayaan kuasa beli untuk membeli secara tunai terhad. Situasi ini secara tidak langsung juga menggambarkan hilangnya sikap menyimpan dan melabur.

Secara umum, kita tidak mempunyai sumber pendapatan yang aktif dan terlalu dinamik sekarang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, lebih ketara lagi apabila berada dalam tempoh persaraan. Kita cenderung memilih untuk menghabiskan tempoh lazim persaraan dalam keadaan yang tenang dan santai. Sedangkan, kos sarahidup tidak pernah bersara malah semakin hari semakin meningkat terutamanya perbelanjaan perubatan. Dalam masa yang sama, kita masih leka tentang kepentingan pelaburan. Kalau dulu kita berada dalam suasana kampung, hidup di dalam satu institusi keluarga yang kukuh. Setelah bersara atau tidak bekerja, ibubapa yang tiada pendapatan tinggal bersama anak-anak mereka atau dalam kelompok kejiranan berdekatan serta saling bantu membantu. Inilah pegangan masyarakat kita dahulu yang memegang nilai sebagai landasan hidup. Dengan pendapatan yang kecil, mereka berjaya membesarkan anak-anak dengan kecukupan pendidikan, akhlak, keperluan asas dan sebagainya. Berbeza dengan situasi sekarang. Kemudahan pinjaman, keperluan seharian dan pengaruh persekitaran menjadikan kita keliru dan terkadang gagal menjustifikasikan tindakan. Persediaan yang sepatutnya perlu dibuat bermula dari sekarang iaitu membuang sifat negatif terhadap kebendaan dan membina nilai diri dan keluarga dengan keperluan dan kelengkapan sarahidup yang bukan sahaja dari aspek kewangan malah ilmu pengetahuan serta pengisian menyeluruh rohani, mental dan fizikal.

Ini adalah kerana peningkatan kos dan kadar inflasi tidak menentu meningkat. Nilai yang berada di dalam pegangan kita juga ikut tidak menentu menurun dengan kenaikan harga barang atau penyusutan kuasa beli wang kita. Tidak kurang juga pengaruh luaran lain memberi kesan kepada nilai yang kita ada. Hubungan songsang diantara nilai pegangan dengan kos, kadar inflasi dan lain-lain ini menuntut kita berbuat sesuatu supaya kita tidak terus rugi atau sekurang-kurangnya dapat mempertahankan nilai wang yang kita pegang. Nilai aset kita tidak statik, begitu juga dengan umur dan keupayaan kita. Sekiranya baik sikap dan tindakan kita, maka baiklah hasilnya. Walaupun masa yang sama diperuntukan kepada setiap orang iaitu 24 jam sehari, tetapi terdapat berbagai tahap keupayaan kewangan di antara individu. Yang cuai dan mengikut nafsu akhirnya terkandas di waktu-waktu kritikal apatah lagi setelah umur menjangkau ke tahap kurang produktif.

Rasullullah s.a.w berpesan, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa muda sebelum masa tua, sihat sebelum sakit, masa berharta sebelum masa miskin, lapang sebelum sibuk, masa hidup sebelum mati. Maka sewajarnyalah hadith ini diaplikasikan untuk kebaikan dengan perancangan kewangan yang bijak Yang jelas, pelaburan mesti direbut dengan bertindak dari sekarang.

Bayangkan sekiranya kita hanya mempunyai kurang daripada RM50,000 wang KWSP apabila tiba umur persaraan dan dalam keadaan kita tidak bekerja. Jumlah ini sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kehidupan di masa umur emas. Dengan peruntukan sebanyak RM1,000 sebulan, duit tersebut boleh habis dalam tempoh 4 tahun sahaja. Itupun dengan andaian sekiranya RM1,000 sebulan dibelanjakan dan belum diambilkira dari segi kos-kos yang wajib dalam menyelesaikan liabiliti tertangguh sebelumnya.

Langkah penting dalam perancangan kewangan adalah pelan pelaburan. Perancangan ini hendaklah bermula dari sekarang. Pelan pelaburan bukan lagi satu pilihan malah menjadi �suatu kemestian kepada setiap individu. Seorang ketua keluarga perlu merancang ketahanan sumber pendapatan keluarganya untuk masa yang mendatang. Seorang bapa yang sedar kepentingan pendidikan anak-anaknya, perlu mula melabur atau mencari pelan perancangan kewangan menyokong pendidikan anak-anak, terutamanya dengan kos pendidikan yang tinggi dan ketidakpastian bantuan kewangan dari sumber-sumber yang dulunya boleh diharapkan.

Antara tindakan yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:

  • Pelaburan bermula dengan mempunyai duit yang lebih. Malangnya, tidak ramai di antara kita mempunyai lebihan wang sama ada bekerja sendiri atau makan gaji. Kalau berlebihanpun, bukanlah seberapa kerana keperluan masa kini amat mencabar sehinggakan kadang-kadang pendapatan gagal berlebih malah tidak mencukupi. Di sinilah titik tolak yang akan membezakan orang yang merancang dengan orang yang tidak merancang. Kita hendaklah bijak berbelanja dan memperuntukan sebahagian pendapatan untuk membolehkan kita melabur. Pelaburan yang disandarkan kepada pinjaman semestinya akan rendah nilai apabila diambil kira modal yang tertakluk kepada keuntungan pihak ketiga yang memberi pinjaman.
  • Melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan kewangan. Seseorang individu hendaklah berbelanja dengan bijak untuk mengelak dari membelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah. Pendapatan yang banyak bukan bermakna seseorang itu kaya. Yang penting adalah bagaimana kita mengurus kewangan kita. Perbelanjaan perlu diutamakan kepada perkara asas yang menyumbang kembali kepada sumber pendapatan. Perbelanjaan sepatutnya berdasarkan keperluan utama dan bukan berdasarkan kepada pengaruh lain seperti iklan, rakan dan sebagainya. Sekiranya perbelanjaan dikaitkan dengan perkara-perkara sampingan, beban membayar nilai perkhidmatan atau barangan tersebut akan ditanggung oleh kita sendiri.
  • Memahami pelaburan. Pelaburan adalah tindakan atau satu proses yang diambil pada wang atau aset kita dengan menjangkakan pulangan pada masa akan datang iaitu memperolehi hasil daripadanya. Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah hasilnya tidak semestinya positif. Oleh itu, kita mestilah mengkaji dengan terperinci sebelum sesuatu pelaburan membawa hasil sebagaimana yang dijangkakan. Kita perlu bukan sekadar mengetahui istilah-istilah pelaburan seperti risiko, pulangan, nilai masa duit, inflasi dan sebagainya tetapi tahu mengaplikasikan. Unsur-unsur penting pelaburan yang perlu didalami adalah:
    • Pelaburan jangka pertengahan kepada jangka panjang seperti kita jangkakan pulangan untuk tempoh 10 tahun ke 20 tahun akan datang.
    • Pelaburan hendaklah dibuat ke atas pelbagai asset atau industri dengan taburan yang sepatutnya.
    • Risiko yang minima berbanding pulangan atau pulangan secara relatif.
    • Mengambil kira kesan inflasi sebahagian daripada kos atau jangkaan kos inflasi.
  • Mengambil bahagian dalam pelaburan dengan kepelbagaian bidang seperti kewangan, hartanah atau sumber manusia seperti kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan matlamat jangka panjang kita. Membangunkan kemahiran diri dengan menambah pengetahuan bagi kemahiran tertentu seperti membaikpulih kenderaan, menulis artikel kepada majalah-majalah dan sebagainya juga merupakan pelaburan.

Bertindaklah sekarang dengan membuat caruman ke akaun pelaburan sedia ada atau melakukan pelaburan sendiri. Adalah disarankan supaya pelan persaraan bermula dengan menguruskan pendapatan sedia ada dan dilaburkan di tempat yang terjamin serta boleh diharapkan. Unit trust, mutual fund or Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah salah satu contoh pelaburan yang baik. Kenapa? Kerana institusi ini mempunyai orang yang berkelayakan yang memang bekerja memberi keuntungan kepada pelabur. Memang ada kos ke atas perkhidmatan mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak membayar dalam kerugian sekiranya kita kurang arif membuat pelaburan sendiri. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai peruntukan pelaburan perlu diasingkan dari peruntukan kecemasan. Peruntukan pelaburan tidak digalakkan digunapakai dalam keadaan kecemasan. Pelaburan yang didepositkan hendaklah tidak dikeluarkan walau apa keadaan sekalipun. Memandangkan banyak perkara yang perlu kita lakukan, biarlah orang yang mahir melakukan pelaburan bagi pihak kita.

Penekanan penting di sini ialah kesedaran tentang pentingnya tindakan awal, kemahiran mengurus kewangan, disiplin diri yang tinggi serta perancangan yang rapi. Berilah peluang hidup kita merdeka dari krisis kewangan yang dialami hasil dari kegagalan sendiri.

Menjamin keharmonian hubungan industri

Filed under: articles — mnour's IMPian @ 1:42 am

Mohd Noor Bin Omar

10/06/2005 | Utusan Malaysia

Konsep perhubungan perindustrian pada hakikatnya terbahagi kepada dua. Pertama, interaksi di antara hamba dengan Pencipta, kedua, interaksi antara manusia sesama manusia. Setiap individu tidak terkecuali daripada kedua-dua perhubungan ini sama ada secara sedar atau sebaliknya. Kefahaman konsep ini amat penting dalam urusan seharian antara pekerja dan majikan bagi menjamin keharmonian industri.

Sifat hormat sesama kita wujud kerana kita percaya dengan cara menghormati orang lain, kita akan menerima kesan daripada tindakan kita itu. Begitu juga dengan sifat menghormati pelanggan. Sekiranya pelanggan tidak menerima layanan sewajarnya, maka permintaan kepada barangan atau perkhidmatan kita akan terjejas.

Ini adalah qadak dan qadar Allah yang menjadi keyakinan kita. Dalam sebuah hadis, Rasulullah menjelaskan bahawa tiada keimanan bagi orang yang tiada amanah. Dalam beberapa hadis yang lain dalam konteks yang berbeza-beza, Rasulullah menyebutkan bagaimana sifat malu, menjaga kebersihan, menyeru kepada kebaikan dan menegah kepada keburukan adalah sebahagian daripada iman. Jelasnya, kita perlu menerapkan kepercayaan serta akidah yang kukuh dalam masyarakat industri.

Kita sedar bahawa penguasaan ilmu pengetahuan dalam apa saja bidang amat penting. Tanpa ilmu pengetahuan, bukan sahaja sistem nilai ini gagal berfungsi, tetapi keharmonian perhubungan perindustrian juga akan lumpuh.

Justifikasi yang telus dalam perhubungan perindustrian bukan sahaja untuk kepentingan sendiri tetapi perlu disampaikan dan dijelaskan kepada pihak yang satu lagi. Tindakan ini dibuat bagi mengelak timbulnya ketidakpuasan hati, salah faham atau perkara-perkara negatif lain.

Di samping itu, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa dalam perhubungan perindustrian, perlunya ada keseimbangan atau keadilan. Sistem ganjaran dan pakej faedah dan ganti rugi perlu diamati dengan teliti sama ada terdapat elemen yang tidak seimbang dalamnya.

Penangguhan bayaran gaji menjejaskan kemampuan kuasa beli pekerja dan penyusutan nilai yang dibayar. Seorang ketua keluarga yang kesempitan wang tidak sanggup melihat ahli keluarga menderita kerana memerlukan keperluan asas mereka. Tekanan perasaan ini boleh membawa kepada tindakan di luar jangkaan seperti gejala tidak sihat, mencuri, ragut, pelacuran, pinjaman daripada `ah long’ dan sebagainya.

Penggubalan undang-undang sebenarnya membawa bersamanya nilai etika dan mesej keadilan. Menyentuh tentang kehendak undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia, majikan dan pekerja tertakluk kepada beberapa undang-undang utama yang perlu diberi perhatian iaitu Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Perindustrian 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta beberapa akta lagi.

Penggubalan perundangan ini adalah sebagai satu sandaran supaya kedua-dua belah pihak dapat berurusan dengan cara yang lebih saksama dan adil. Namun, ada di kalangan kita yang menggunakan peruntukan undang-undang bagi tujuan memanipulasi fakta seperti membuat laporan kewangan dan sebagainya.

Beberapa jenis akaun dibuat untuk disesuaikan dengan tujuan sehingga menimbulkan keraguan. Sifat negatif ini boleh menghalang kemurnian perhubungan di antara majikan dan pekerja sebagai contoh, sekiranya sistem gaji mengikut produktiviti hendak dilaksanakan.

Walaupun ada pihak yang menganggap terdapat peruntukan yang tidak mempamerkan nilai etika seperti peruntukan Seksyen 37(1)(a) yang dibaca bersama Seksyen 2 Akta Kerja 1955-dalam mendefinisikan kelahiran (confinement), ada pihak mempertikaikan bahawa kelayakan mendapat cuti bersalin tidak hanya dihadkan kepada kelahiran di atas dasar perkahwinan yang sah.

Perlu dijelaskan bahawa anak yang diperoleh hasil perhubungan yang tidak sah di sisi undang-undang, tidak semuanya berpunca daripada salah laku liar atau pilihan ibu tersebut. Setelah melahirkan anak tersebut dalam keadaan terbeban, majikan pula tidak menanggung elaun bersalin sedangkan pekerja tersebut tiada tempat bergantung harap.

Jelas, kerukunan perhubungan perindustrian juga perlu menitikberatkan kepentingan sosial pekerja dalam jangka masa panjang.

Undang-undang dan terma-terma pekerjaan ini merupakan titik tolak penyediaan faedah minimum yang perlu dipatuhi. Namun, Islam amat menggalakkan umatnya bersikap ihsan. Kalaupun tidak mencapai ihsan, sekurang-kurangnya perkara ini boleh memenuhi prinsip keadilan.

Dalam menjamin keharmonian perhubungan ini juga, kita perlu menanam ke dalam jiwa agar sentiasa memikirkan kepentingan perbuatan kita ada kesannya kepada orang lain. Selama mana perbuatan kita hanya untuk satu pihak sahaja, selama itu kita tidak dapat mencapai kebaikan hakiki.

Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain, seburuk-buruk manusia, orang yang memberi kemudaratan kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibn Majah)

Ruang lingkup perhubungan perindustrian sebenarnya amat luas dan dinamik. Namun, yang paling penting ialah sikap proaktif pihak-pihak terbabit menjayakannya. Sikap ini hadir bersama-sama individu atau pihak yang mempunyai matlamat dan objektif yang jelas ke arah kecemerlangan serta merangka-rangka usaha ke arahnya.

Inilah motivasi untuk menggerakkan keharmonian interaksi dan perhubungan perindustrian sebagaimana yang disarankan oleh ajaran Islam. Jadikanlah al-Quran sebagai `panduan manual’ kerana al-Quran itu didatangkan khusus kepada kita sebagai rahmat yang amat besar.

Create a free website or blog at WordPress.com.