IMP Community

October 26, 2009

wang & kewangan Islam

Berita Harian. 20/10/2009

mn.omar

Kewangan Islam telah diterima umum dan menjadi satu industri yang amat memberansangkan. Namun terdapat tanggapan bahawa kemudahan kewangan Islam tiada beza dengan kewangan biasa kecuali nama kontrak tersebut dalam bahasa arab dan borang-borang berwarna hijau. Kalau kontrak tersebut pinjaman, pelanggan masih perlu membayar lebih dari apa yang dipinjamkan atau kadang-kadang lebih tinggi. Adakah sama faedah dan keuntungan dan kenapa faedah diharamkan tetapi keuntungan dibenarkan sedangkan yang bezanya hanya perkataan dan tulisan.

Persoalannya, adakah tanggapan ini betul atau orang beranggapan begini tidak faham konsep-konsep akad atau telah berlaku pengubahsuaian dalam kontrak-kontrak kewangan Islami sehinggga pelanggan lebih tidak faham dari faham terhadap apa yang berlaku. Namun, sama ada faham atau tidak, manusia perlukan satu sistem kewangan yang bebas dari amalan-amalan yang ditegah terutamanya melibatkan riba hasil dari urusan pinjam meminjam. Hebatnya kewangan Islami bukan kerana jenamanya tetapi prinsip utama yang telah disempadankan oleh Allah.

Faedah dalam urusan kewangan biasanya merujuk kepada lebihan yang diperolehi dari wang asas yang dipinjamkan manakala keuntungan pula adalah pulangan yang diperolehi hasil dari menjual barangan atau perkhidmatan. Islam melarang keras amalan mengambil faedah dari pinjaman yang disebutkan sebagai riba manakala amalan jualbeli dengan kadar keuntungan dibenarkan.

Aktiviti utama bank konvensional ialah antara lain berurusan dengan pinjaman dan mendapat keuntungan hasil dari pinjam meminjam wang. Wang diniagakan dengan memberikan pinjaman wang untuk mendapatkan keuntungan ke atas apa yang telah diberikan. Sekiranya perbankan Islam membuat urusan yang sama dan cuba membezakan kulit luar, warna dan jenama, maka betullah tanggapan mengatakan perbankan dan kewangan Islam tiada bezanya. Sebarang bentuk pinjaman dalam sistem kewangan mestilah menepati akad Qard al-hasan iaitu pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah.

Apa yang berlaku ialah institusi kewangan memberi wang dan mendapat pulangan yang melebihi wang asas sebagai keuntungan. Untuk menjadikannya sebagai jualbeli, maka beberapa pendekatan diambil supaya dapat menjadikan aktiviti ini nampaknya seolah-olah jualbeli. Helah disusun dengan teliti dan dialaskan dengan hujah-hujah yang mengharuskan jenama kontrak tertentu yang pada hakikatnya tidak dilaksanakan mengikut keperluan asal. Pendapat ulama digunakan dan yang malangnya, pengamal kewangan Islami sendiri mencari jalan untuk merombak bentuk asal akad tetapi menisbahkannya kembali kepada ulama yang tidak lagi dapat memantau ketelusan perubahan dan rombakan yang dibuat.

Pengharaman riba memang jelas tetapi yang agak kabur adalah beza di antara amalan riba dan jual beli. Namun, sebagai muslim yang bertanggungjawab, perincian tentang ini perlu mendapat keutamaan bukannya menjadi dalang yang membuka pintu kepada kemurkaan Allah. Jangan tergolong di dalam golongan yang disentuh al-Quran sebagai satu kumpulan yang cuba membolehkan apa yang tidak dan sanggup bersusah-susah untuk menjualbelikan riba.

Allah menegaskan di dalam al-Quran tentang halalnya jualbeli dan mengharamkan riba.  Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa “Riba diharamkan kerana riba boleh menghalang orang ramai dari terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi sebenar”. Pengharaman riba atau apa-apa saja nama lain bagi riba adalah untuk mengelakkan penindasan pihak yang mempunyai wang ke atas orang yang memerlukan. Perkara ini jelas bercanggah dengan kepentingan kemanusiaan kerana peminjam tiada pilihan lain terpaksa membayar lebih dari apa yang diperolehi dalam pertukaran. Lanjutan ilah hukum ini juga ialah hilangnya keseimbangan, pertikaian ketelusan, tekanan terhadap golongan kurang mampu dan lenyapnya keadilan dalam urusniaga. Apabila ia dibiarkan berleluasa, keseluruhan sistem ekonomi akan menjadi rapuh kerana aktiviti ekonomi sebenar tidak jelas sama sekali.

Oleh itu, memahami, membezakan dan menjarakkan di antara jualbeli dan riba bukan sahaja penting tetapi menjadi tanggungjawab pengamal kewangan Islami. Hukum berkenaan tetap sama tidak kira nama, warna atau rupa. Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa atau harta (luaran sesuatu) tetapi melihat kepada pendirian (hati) dan amalan-amalannya. Gambaran besarnya dosa amalan riba melebihi perbuatan zina yang terkutuk walaupun penzinaan tersebut berlaku dengan keredhaan. Begitu juga yang berlaku di dalam industri. Walaupun permintaan kepada ‘skim pinjaman wang Islami’ makin meningkat dan ‘menguntungkan’ namun, ia bukanlah alasan untuk membuka pintu amalan riba. Keuntungan jangka pendek golongan tertentu apatah lagi mengorbankan kekananan tuntutan ajaran Islam tidak tergolong sama sekali di dalam maqasid syariah.

Riba adalah kezaliman yang berlaku dalam muamalah yang boleh meruntuhkan keseluruhan sistem ekonomi. Apabila keadilan, ketelusan dan keseimbangan dinafikan, lihatlah bagaimana krisis ekonomi dunia masyarakat antarabangsa hadapi sekarang. Sampai ke satu tahap, kerapuhan muamalah berasaskan riba menunjukkan dirinya yang rapuh dengan menghancurkan dan memberi kesan yang ketara terhadap keyakinan muamalah ekonomi sebenar.  Untuk pulih, keseluruhan sistem perlu dirangka semula selari dengan ajaran Islam. Kefahaman konsep muamalah dan menakrif semula syarat serta rukun jualbeli menjadi satu kemestian. Akad-akad muamalah Islami sebenarnya telah datang dengan pakej pengurusan risiko di dalamnya. Sekiranya aspek pengurusan risiko ini diabaikan dengan membuat rombakan syarat atau mengahwinkan akad-akad yang tidak sesuai, maka akan lahir risiko yang lebih rumit.

Dalam jualbeli barangan atau perkhidmatan, wang dicipta bagi mewakili harga, nilai dan pengukur yang menggantikan kelemahan sistem barter. Wang yang menerima berbagai sudut pandangan dan perkembangan kepenggunaannya telah mengelirukan pengamal kewangan dari aspek pemakaian. Wang yang bertindak sebagai harga tidak boleh diurusniagakan kecuali dengan mengikut ketetapan pertukaran yang telah digariskan seperti kadar/kuantiti, masa dan motif. Akibat dari sentiasa berdamping dengan barangan yang diniagakan dan sentiasa tidak boleh dipisahkan, wang dianggap sebagai barang yang boleh diniagakan dan mempunyai harga tertentu.

Teori nilai masa wang (time value of money) yang diterimapakai dalam amalan kewangan Islami atau dalam penghargaan aset (asset pricing-proses memberi harga kepada aset kewangan) lebih mencelaru apabila ada pihak salah faham konsep wang sebagai komoditi bukannya wang sebagai harga. Sebenarnya, selain dari urusniaga berkomoditi (atau perkhidmatan), wang tidak mempunyai nilai masa sama ada dinisbahkan kepada jangkamasa sekarang atau di masa akan datang. Wang itu sendiri sekiranya bernilai satu ribu tetap sifatnya bernilai satu ribu dalam masa setahun akan datang. Jatuhnya harga atau nilai kuasa wang tersebut hanya apabila dinisbahkan kepada barangan atau perkhidmatan pada waktu ingin digunakan. Ini kerana dominasi ekonomi bukannya wang tetapi barangan (atau perkhidmatan), jenis muamalah dan pasarannnya.

Memang terdapat di dalam tradisi amalan Islami yang membenarkan landasan berbezanya harga jika dijual secara tunai dan bertangguh tetapi, kadar tersebut adalah kadar harga komoditi berkenaan, bukanlah membawa makna yang sama bahawa wang berubah nilainya iaitu sekarang lebih tinggi nilainya berbanding pada masa hadapan seperti yang diamalkan dalam amalan konvensional.

Wang sebagai tanda ukur penilaian yang diterima umum dan dianggap sebagai harga pertukaran sesuatu muamalah semata-mata dan bukannya sesuatu yang boleh diniagakan dengan sendirinya tanpa melibatkan barangan dan perkhidmatan. Apabila perniagaan wang berlaku iaitu apabila wang ditukarmilikan dengan dikadarkan dengan harga ke atas wang tersebut, maka nilai tambahan itu adalah riba dan diharamkan oleh Islam. Walau apa cara dan helah dibuat serta dinamakan dengan nama yang lebih sedap, atau diamalkan dengan kerelaan pihak bermuamalah, amalan riba tetap tidak dibolehkan. Akad jualbeli berasaskan pinjam meminjam seperti bai’ bithamani ajil (BBA), bai’ al-inah, tawarruq dan murabahah, atau akad-akad yang telah dijenamakan serta dijelmakan dengan penggabungan beberapa akad seperti Al-Ijarah Thumma Bai’ (AITAB) di dalam aturan serta amalan perbankan dan kewangan Islami perlu ditelaah kembali.

Faham asas tentang wang, harga dan syarat-syaratnya perlu diperhalusi berbanding dengan mengambil jalan mudah menisbahkan akad asal yang telah melalui pembaharuan kepada ulamak yang mengharuskan akad muamalah asal satu kezaliman. Pasti ulamak-ulamak ini akan menentang sekeras-kerasnya sekiranya mereka dinisbahkan sebagai mengharuskan apa yang menjadi larangan Allah. Kalau di zaman jahiliah badwi, manusia sering melakukan sesuatu larangan kerana kerana jahil tetapi, zaman jahiliah maju, manusia melakukan larangan kerana engkar. Kejahilan boleh membuatkan manusia yang mengundur ke belakang merasa seolah-olah berjalan ke hadapan, manakala keengkaran pula boleh membuatkan manusia mengkhianati keseluruhan diri dan perjalanannya.

Blog at WordPress.com.