IMP Community

August 24, 2009

madrasah ramadhan

Filed under: tazkirah — Tags: , , , , , , , , , — mnour's IMPian @ 11:06 am

“Puasa sebahagian dari sifat sabar” (Rasullullah s.a.w)

anakarinMuhasabah adalah jalan terbaik menilai kembali perkara lepas yang meletakkan kita pada kedudukan sekarang dan merancang tindakan supaya kedudukan menjadi lebih baik di masa akan datang. Ketibaan Ramadhan yang dianggap bulan madrasah (sekolah) kepada seorang insan perlu sama-sama dimasukkan di bawah perbincangan ini kerana terlalu banyak yang diuji sepanjang bulan ramadhan yang hampir meliputi keseluruhan aspek. Jika dinilai dari segi ekonomiknya seseorang, maka bulan ramadhanlah bulan yang paling tepat memberi petunjuk nilai hemah ekonomi sebenar diri kita.

Seperti yang kita ketahui juga, seorang insan di sisi Islam sewajarnya mencagarkan dirinya untuk memperhambakan kepada Allah dengan akur dan tunduk mencari keredhaanNya. Liputan aqidah, muamalah dan akhlak seseorang Muslim sepatutnya adalah sesuatu yang berada dalam kesempurnaan. Namun, sejauh manakah kita mencapai maqam terbaik itu? Sejauh mana kita berupaya memberi satu keyakinan dan kepercayaan kepada orang lain atau non-Muslim tentang pencapaian kita? Adakah kita menjadi satu ikutan terbaik sepanjang ramadhan atau menjadi sasaran terbaik gedung-gedung memberi belah?

Mengambilkira kedua aspek ekonomi seorang insan, sejauh manakah ujian ringkas yang kita buat terhadap diri kita memberi kepuasan.

Bulan ramadhan adalah bulan mengaut keuntungan bagi perniagaan terutamanya yang melibatkan makanan (kerana nafsu meronta-ronta), perhiasan (langsir, alas meja, dsb-persiapan raya), pakaian (sedondong satu keluarga, bukan satu set, beberapa set. kalau dapat warna tak boleh sama dengan tahun lepas atau yang jarang orang pakai. masa ni fesyen baru dpt sambutan),¬† perabut (tukar setahun sekali, apa salahnya), aksesori kenderaan (semangat balik kampung, tak ler segan sangat), kuih-muih (persediaan hari raya) dan sebagainya. Pendek kata, semuanya memberi pasaran yang baik kepada peniaga. Ramai yang mengambil sikap selamba di bulan ramadhan dengan membazir, tidak hemah berbelanja, gagal menahan nafsu, tidak sabar lihat barang yang dijual, bimbang, keluh resah, dianggap tak standard, mengenepikan hemah berfikir (apa salahnya…) dan banyak lagi 1001 alasan yang membuatkan kita tunduk kepada kehendak nafsu. Soalannya, adakah bulan ramadhan menjadi madrasah yang baik?

Prestasi kerja yang merosot di bulan ramadhan telah mengurangkan produktiviti seseorang bermula dari masa kerja dipendekkan, kerja-kerja tertentu ditangguhkan kerana tidak sesuai dilaksanakan, keadaan letih dan mengantuk sepanjang hari (mengantuk bagi yang kerja pejabat, letih bagi yang kerja luar) dan hari bekerja juga menjadi kurang kerana cuti menyambut puasa dan raya. Soalannya, adakah bulan ramadhan menjadi madrasah yang baik?

Mari kita renung pula tawaran ganjaran pahala yang dibuka oleh Allah. Bulan ramadhan adalah bulan penuh barakah yang dilimpahi rahmat kepada mereka yang melakukan ibadah. Pintu maghfirah terbuka luas. Mendidik dan memelihara nafsu supaya tunduk dengan penuh pengabdian dalam segala amalan rohani, jasmani dan batini. Tawaran ini terbuka kepada sesiapa yang inginkannya. Soalannya, adakah bulan ramadhan menjadi madrasah terbaik?

Musim orang pergi ke masjid. Yang tak pernah ke masjidpun seronok ke masjid kalau masjid hanya menjadi tapak pesta bermusim. Bila tiba di masjid, mulalah orang sibukkan diri sembahyang. Ada yang pergi ke masjid kerana malu kepada jiran. Kenapa masih ada orang yang sanggup berletih-letihan ke masjid kerana nak jaga air muka dengan jiran atau kawan-kawan? Ke mana orang-orang yang berpusu-pusu ke masjid  tetapi pada minggu-minggu akhir ramadhan sehingga masjid menjadi lengang? ke mana pula amalan dan ibadah yang dilakukan dan kenapa semua amalan-amalan itu dah tak relevan lagi selepas bulan ramadhan? Soalannya, adakah bulan ramadhan menjadi madrasah terbaik?

Tanyalah diri sekiranya hari ini hari terakhir berpuasa bagi hayat ini, benarkan amalan-amalan ramadhannya boleh menjadi galang ganti menebus diri untuk lepas dari siksa dan azab? Bijakkah kita berniaga dengan Allah. Sedang tawaran hebat Allah tidak diendahkan malah mengambil kesempatan bulan ramadhan untuk puaskan nafsu.

Sama-sama kita jadikan Ramadhan sebagai madrasah untuk Aqidah, Muamalah dan Akhlak yang lebih sempurna dan menghampiri monolog Nya dalam diri kita setiap detik.

Blog at WordPress.com.