IMP Community

August 20, 2009

kalau dah masak…

Filed under: General — Tags: , , , , , — mnour's IMPian @ 4:57 pm

karin siamMenunding kepada pengangguran dengan menyalahkan pelbagai ketidakcukupan dan ketidaksediaan pengganggur adalah satu kesilapan dan pandangan yang sempit. Gambaran sebenar yang berlaku ialah keadaan statik dan tidak bergeraknya rangkaian gunatenaga negara sedang berlaku kerana kejumudan tenaga kerja sedia ada.

Pengangguran bukan masalah penganggur, tetapi masalah penjawat-penjawat tersedia yang tidak membangun, berganjak dan merasa selamat serta takut mengambil risiko bekerja sendiri. Mereka terus mengisi dan beku di perjawatan sedia ada sejak tamat belajar dan menunggu sehingga pencen. Mereka yang telah sepatutnya mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang-bidang tertentu umpamanya pertanian, perdagangan dan lain-lain perlu meninggalkan jawatan tersebut dan mengorak langkah untuk bekerja sendiri. Sekali diamati, terasa malu kalau kita ingin menyalahkan penganggur sedangkan tidak disedari bahawa kejumudan itulah menyebabkan pengganggur tiada peluang.

Perubahan persekitaran adalah merupakan medan-medan pendidikan semulajadi. Di samping bekalan pendidikan rasmi, modal insan dapat mencapai kematangannya dengan pengisian kaedah mena’akul persekitaran dan cernaan pengalaman. Kesemua usaha pendidikan bukan semata-mata bergantung kepada aturan siasah yang ditentukan tetapi sejauh mana aqal manusia bersedia terdidik. Usaha memupuk budaya berfikir tidak boleh disekat dengan menjumudkan sudut pandangan gunatenaga sedia ada kepada kotak-kotak yang tidak wajar sehingga membantutkan pembangunannya.

Peluang pembangunan kerjaya dan usahawan di Malaysia amat memberangsangkan. Dengan perhatian daripada kerajaan dan tahap pengiktirafan dunia ke atas negara, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi pemain dalam apa saja bidang ekonomi sama ada pasaran barang-barang atau perkhidmatan.

Masalah pokok kepada persoalan ini ialah tentang sikap sesetengah pihak yang berfikiran kolot dalam usaha melahirkan masyarakat yang matang dan bijak. Pandangan umum terhadap seseorang pekerja yang berkhidmat dengan sesebuah badan dan dalam masa yang sama menjalankan urusan atau perniagaan lain dianggap salah perlu diubah. Islam tidak pernah melarang umatnya berusaha malah menggalakkan terutamanya dalam perniagaan. Selama mana usaha atau pelaburan yang dijalankan tidak bercanggah dengan norma-norma yang digariskan oleh agama Islam, setiap individu bebas untuk berusaha meningkatkan mutu kehidupannya.

Oleh itu, seorang pekerja yang makan gaji boleh dan perlu membuat himpunan pelaburan atau portfolionya tersendiri mengikut kemampuan dan keupayaan pengurusannya. Cara ini merupakan cara yang amat berkesan dalam usaha meningkatkan kematangan berfikir dalam pembangunan modal insan. Tidak terkecuali kakitangan kerajaan khususnya yang terlibat dalam bidang khusus seperti pertanian, perdagangan dan sebagainya. Peluang pengetahuan, jaringan dan pasaran yang dibina semasa menjawat jawatan tersebut bukan untuk dibawa ke pencen atau mati tetapi proses menyekolahkan mereka supaya bersedia menyahut cabaran lebih getir dalam industri. Mereka sewajarnya meninggalkan jawatan kepada generasi muda dan berkecimpung industri dengan lebih berani. Lompang yang ditinggalkan bolehlah diisi oleh barisan penganggur yang baru putik untuk melalui proses yang sama.

Blog at WordPress.com.