IMP Community

August 12, 2009

Pencemaran Insani

Filed under: General — Tags: — mnour's IMPian @ 6:47 am

Apabila sesuatu berada di dalam keadaan semulajadi, maka ia dianggap bebas dari sebarang pencemaran. Apabila kita sebut tentang sungai yang bebas dari pencemaran, kita akan dapati bahawa sungai tersebut boleh menjalankan fungsi kebiasaannya iaitu mengalirkan air, boleh digunakan serta memenuhi keperluan yang dipiawaikan ke atasnya oleh makhluk lain. Apabila berlaku pencemaran, peranannya juga menjadi pincang dan seterusnya memberi kesan kepada prestasi dan piawaiannya berada di bawah piawaian asas yang sewajar ke atasnya. Insan juga boleh tercemar. Sekiranya pencemaran ke atas seseorang insan berlaku, banyak perkara dan peranan akan menjadi lebih rumit kerana insan ini terdiri dari unsur diri yang banyak dan peranan yang pelbagai. Keadaan terbaik atau ideal seseorang insan ialah berada di dalam fitrahnya.

Pencemaran keinsanan boleh berlaku ke atas semua atau sebahagian dari unsur dirinya atau peranannya. Faham unsur, peranan dan kaitan akan menjelaskan jalan keluar kepada insan mencari kefitrahannya semula untuk kembali. Cuba renungi perjalanan hidup yang telah kita lalui sehinggalah umur sekarang. Pasti terdetik di hati kita bahawa terdapat satu peringkat atau peristiwa yang memperjelaskan pencemaran yang pernah berlaku dalam kehidupan sendiri. Detik hitam sejarah lampau umpamanya mungkin menjadi petunjuk kepada keadaan bahawa ketika itu, kita sedang menghadapi pencemaran. Pencemaran tersebut mungkin berlaku ke atas unsur jasmani atau rohani. Kekeringan akhlak yang mahmudah mungkin merupakan akibat dari berlakunya pencemaran rohani. Sakit yang terlantar mungkin disebabkan oleh pencemaran jasmani. Atau mungkin ketika membaca makalah ini, kita sedang menghadapi pencemaran yang sukar dihuraikan.

Pencemaran akhlak, aqidah dan muamalah adalah pokok kepada persoalan pencemaran peranan dan tanggungjawab. Adakah kita mempunyai perasaan buruk sangka terhadap orang, berfikir negatif, sedikit ego atau terlampau rendah diri? Mungkin terlalu mengambil berat akan apa yang persekitaran lontarkan kepada kita membuat kita berfikir sejenak bahawa sebenarnya telah tiba waktunya kita keluar dari pencemaran ini dengan kembali kepada fitrah.

Fitrah mengajak kita mempersoalkan kembali peranan dan perkaitan dengan Pencipta. Fitrah mengajak kita muhasabah kejiwaan, pencapaian, peranan, penerimaan, sumbangan atau apa saja yang perhisabkan. Kalaulah telah pasti tentang diri yang berada dalam cengkaman pencemaran, perincikan setiap satu dan mulalah mengatasi pencemaran tersebut.

Aku seorang yang mengamal sikap yang sentiasa ego dan self-centred? Aku seorang yang terlalu rendah diri hingga tiada keyakinan diri? Kegagalan adalah milik mereka yang tidak sedar dan hanyut dalam pencemaran…. carilah pencemaran tersebut….atasilah dengan kepastian fitrah dan kecenderungan kita.

Berdiri atas aqidah yang sebenar. Beramal dengan muamalah sebenar. Berperananlah seperti akhlak yang sebenar…. Siapa lagi yang merasa dirinya rugi, sedarlah bahawa mereka sedang dalam alur pencemaran. Siapa yang tidak sedar dan merasa diri hebat, mereka juga hanyut dalam alur pencemaran. Allah menduga insan dengan kepayahan dan kesenangan, terpulang kepada diri masing-masing.

Allah menduga setiap insan untuk menyedari dan mengingatkan tentang fenomena pencemaran insan. Setiap kali tiba dugaan Allah, maka pencemaran yang kita cuba perhalusi dan mencari jalan keluar.  Berdirilah di atas fitrah insani agar pencemaran dapat dijauhi.

Advertisements

Create a free website or blog at WordPress.com.